TANAH runtuh dan banjir selepas hujan lebat menyebabkan sekurang-kurangnya 18 maut semalam di bandar pelancongan di kawasan pergunungan di Rio de Janeiro, kata pihak berkuasa.
“Setakat ini, 18 kematian dilaporkan akibat tanah runtuh dan banjir,” kata Jabatan Bomba Rio de Janeiro dalam satu kenyataan.
Katanya, lebih 180 anggota bomba dan pekerja menyelamat berada di tempat kejadian, bandar Petropolis di mana maharaja terakhir Brazil II dikebumikan, kira-kira 68km di utara Rio.
Majlis perbandaran mengisytiharkan bencana di bandar itu dengan gambar di Petropolis yang indah, penuh di media sosial, tetapi kali ini menunjukkan deretan rumah musnah dan kereta dihanyutkan banjir.
Banyak kedai musnah akibat banjir yang menenggelamkan jalan raya di bandar bersejarah itu.
Hujan lebat dijangka melanda sepanjang Februari, menurut agensi meteorology.
Presiden Jair Bolsonaro yang dalam lawatan kerja rasmi ke Russia, berkata di Twitter beliau bersedih dengan tragedi itu dan meminta menteri menyediakan bantuan segera kepada mangsa.
Awal bulan ini, banjir dan tanah runtuh menyebabkan 28 terbunuh di tenggara negara itu, terutama di Sao Paulo.
Pada Januari, 2011 lebih 900 maut di wilayah pergunungan Rio akibat hujan lebat yang menyebabkan banjir dan tanah runtuh termasuk di Petropolis dan bandar Nova Friburgo dan Teresopolis. – AFP, 16 Februari, 2022.
Komen