PEMIMPIN Barat disaran “jumpa doktor” kerana paranoia atau curiga melampau bimbang kemungkinan 100,000 tentera Russia di sempadan akan menyerang Ukraine.
Timbalan Duta Russia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Dmitry Polyanskiy ketika membangkitkan perkara itu menegaskan Moscow tidak berhasrat menyerang negara jirannya itu yang juga negara bekas Soviet.
“Saya fikir mereka perlu berjumpa doktor yang bagus. Saya mengesyorkan mereka berbuat demikian. Jumpa pakar kes paranoia seumpama itu.
“Tentera kami berada di dalam kawasan kami, mereka tidak mengancam sesiapa,” katanya kepada pemberita, semalam.
Ditanya mengenai jumlah tentera Russia di sempadan yang dikatakan sebagai sebahagian latihan ketenteraan bersama sekutu, Belarus, Polyanskiy berkata beliau tiada perincian mengenainya.
“Saya tidak tahu mengenai angka terbabit, kerana terlalu banyak spekulasi berhubung perkara itu.
“Saya rasa latihan dengan Belarus akan berakhir dalam tempoh seminggu lagi. Perkara selain itu, saya tidak tahu,” katanya. – AFP, 16 Februari, 2022.
Komen