Undi18 penentu Malaysia tanpa rasuah


KRISIS kepimpinan dalam geopolitik hari ini memerlukan perubahan berimpak tinggi terhadap pemulihan struktur tadbir urus dan akauntabiliti negara. Defisit kepercayaan terhadap tahap integriti menimbulkan persepsi negatif rakyat dan dunia terhadap Malaysia.

Isu ini tentunya memerlukan solusi yang strategik.

#RasuahBusters bersama rakan gabungan melihat golongan muda adalah akar yang akan membawa karakter lebih kompetitif, progresif, inovatif dengan semaian akhlak, nilai dan maruah yang tinggi bagi memacu transformasi negara.

Justeru, rakyat Malaysia diseru untuk bangkit memperkasakan dan menjadi sistem sokongan agar anak muda diberi peranan dalam mencorak model Malaysia yang lebih stabil dan kukuh daripada aspek politik, ekonomi dan sosial.

Undi18 yang meletakkan kuasa mengundi kepada golongan muda termasuk pelajar wajar dijadikan peluang untuk menolak kepimpinan toksik dan rasuah daripada terus memusnahkan masa depan mereka.

Sebaliknya golongan mudalah yang harus tampil sebagai barisan hadapan kepimpinan dalam proses pembikinan polisi serta penggubalan undang-undang dalam mengemudi pentadbiran untuk mencorak masa hadapan negara.

Landskap politik, ekonomi dan sosial negara mampu diperkasakan selaras kepantasan arus dunia dengan penglibatan langsung golongan muda melalui ideologi digarap daripada hasil kajian akademik, pembaharuan teknologi, kapasiti tenaga dan keupayaan mereka dalam membentuk inisiatif pembaharuan sosial yang komprehensif.

Begitu juga, ketokohan dan potensi kepimpinan golongan muda yang dinamik melahirkan sebuah lingkaran kumpulan pengaruh yang besar untuk sebuah solidariti perubahan demi kesejahteraan negara.

Bagi mencapai Matlamat Pembangunan Lestari (Sustainable Development Goal (SDG)) yang disasarkan menjelang 2030, golongan muda juga harus berani untuk tampil dalam proses advokasi hak-hak bagi menjamin kualiti pendidikan, kesihatan, alam sekitar serta jaminan peluang pekerjaan bagi kemampanan ekonomi dan sosial.

Anak muda bangkit bukan retorik. Ia adalah jaringan ekosistem yang amat signifikan.

Pensejajaran misi secara berterusan bersama golongan muda bakal menentukan hala tuju kemajuan yang selari dengan kebangkitan nilai moral karakter bangsa agar negara ini bebas daripada kemelut ketidakstabilan politik dan isu rasuah.

Sebagai aset penting negara, komitmen bersepadu golongan muda adalah sinar harapan lahirnya negara yang progresif, telus, dan jujur.

Tindakan hari ini adalah penentu selamat atau sengsaranya rakyat. Mulakan dengan memilih pemimpin yang tidak rasuah.

Jangan biarkan perasuah merampas masa depan anak muda Malaysia. – 16 Februari, 2022.

* Kenyataan bersama 92 organisasi wakil Belia #RasuahBusters.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen