SESETENGAH ibu bapa menggesa sekolah bertukar kepada pengajaran dalam talian atau sekurang-kurangnya membenarkan kelas hibrid ekoran lonjakan semula jangkitan Covid-19 di negara ini, kata beberapa guru sekolah Cina.
Ibu bapa berbeza pendapat dengan sesetengah pihak bimbang mengenai varian Omicron yang lebih mudah menular ketika vaksinasi untuk kanak-kanak berumur antara 5 hingga 11 tahun masih berjalan, manakala yang lain percaya sekolah selamat selagi prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi.
Guru juga mempunyai pandangan berbeza, dengan ada yang mengatakan sekolah bersedia untuk beroperasi semula dalam talian manakala yang lain berkata ini akan membebankan guru terutamanya di kawasan luar bandar.
Lim Bee Khim, presiden Kesatuan Kebangsaan Ketua Sekolah berkata beberapa ibu bapa juga meminta anak-anak mereka dibenarkan tinggal di rumah dan belajar sendiri berikutan peningkatan kes.
“Jumlah pelajar yang hadir ke sekolah menurun. Ada disebabkan dijangkiti virus, ada juga yang menjadi kontak rapat.
“Ibu bapa juga memilih menyuruh anak-anak tinggal di rumah selepas vaksinasi kerana bimbang sistem imun anak lemah,” kata Lim.
Bagi tempoh dua bulan pertama tahun ini, Lim berkata sekolah memberi tumpuan kepada tunjuk ajar dan menyemak kerja rumah murid.
Pelajar akan mula bercuti tidak lama lagi hujung bulan ini apabila tahun akademik 2021 berakhir, sehingga 21 Mac apabila sesi 2022 bermula.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin baru-baru ini berkata Malaysia sedang berdepan gelombang Omicron.
Kes mula meningkat secara mendadak pada minggu kedua Februari, dan jangkitan harian mencecah 20,000 sejak 11 Februari, walaupun sebahagian besarnya berada dalam kategori Covid-19 yang lebih ringan dan tidak memerlukan kemasukan ke hospital.
Lim Mei Qin, pengetua SJK(C) Taman Connoaught berkata beliau mengalami konflik untuk mengadakan kelas fizikal.
Beliau bersetuju dengan kenyataan Khairy yang menutup sekolah fizikal adalah lebih buruk untuk kesihatan mental dan prestasi akademik kanak-kanak, tetapi beliau juga bimbang mendedahkan kanak-kanak kepada jangkitan di sekolah.
Pembelajaran hibrid boleh menjadi penyelesaian, dan Lim berharap Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan akan membuat perancangan mengenainya.
Beliau berkata ini akan membantu murid yang menjalani kuarantin dan mempunyai kontak rapat dengan kes positif, memandangkan kebolehjangkitan tinggi varian Omicron.
“Saya difahamkan kementerian tidak menggalakkan pembelajaran hibrid (kerana mahu sekolah dibuka), tetapi sekolah dilengkapi sepenuhnya untuk ini.
“Walaupun kami tidak mempunyai kelas hibrid, ibu bapa mungkin memilih tidak membenarkan anak ke sekolah dan ini akhirnya akan mengganggu pelajaran mereka jika tiada kelas dalam talian.
“Kami berharap kementerian akan mengkaji semula model semasa sama ada selamat untuk kanak-kanak berada di sekolah.
Vaksin kanak-kanak dan ikut SOP
Chew Eng Hok, presiden Persatuan Guru Besar Sekolah Cina Pulau Pinang, berkata beliau juga menerima permintaan daripada ibu bapa untuk mengadakan kelas dalam talian.
“Kami memahami kebimbangan ibu bapa tetapi pada masa ini, kerajaan tidak berhasrat untuk menutup ekonomi lagi.
“Dan bagi yang bekerja, mereka akan menghadapi masalah logistik jika anak-anak tidak menghadiri sekolah fizikal.”
Chew menambah sekolah perlu mengikut arahan Kementerian Pendidikan untuk tidak mengadakan kelas dalam talian kerana sesi fizikal sudah disambung semula.
Chew juga tidak bersetuju semua sekolah dan guru dilengkapi untuk mengadakan pembelajaran hibrid.
“Jika kita buat model hibrid, ia akan membebankan guru. Kami mempunyai keupayaan dan peralatan yang terhad.”
Beliau juga menggesa ibu bapa supaya mematuhi peraturan pencegahan Covid-19 di rumah dan tempat kerja supaya tidak menularkan virus itu kepada anak-anak mereka.
“Walaupun terdapat kes Covid-19 dalam kalangan pelajar, punca jangkitan bukan di sekolah.
“Selagi ibu bapa memberi kerjasama, tidak akan ada sebarang masalah.”
Chew, yang juga pengetua SJK(C) Min Sin, berkata sebelum tahun persekolahan 2022 bermula pada Mac, pihak sekolah akan mengingatkan ibu bapa dan guru mengenai semua SOP.
Sementara itu, Chua Lay Koh, presiden Persatuan Guru Besar Sekolah Cina berkata ujian kendiri akan menjadi norma baharu bagi pelajar.
Walaupun pada masa itu peningkatan dalam kes dan varian Omicron, beliau berasa sekolah boleh menjadi cukup selamat dengan vaksinasi untuk kanak-kanak, dan jika SOP diikuti.
Chua, yang merupakan pengetua SJK(C) Kuo Yang 2 berkata pembelajaran hibrid mungkin memberi manfaat kepada sesetengah kawasan, tetapi bukan semua.
“Di bandar, tidak akan ada masalah, tetapi di kawasan luar bandar, ketersambungan tidak bagus. Ia boleh menambah beban tugas guru.”
Sekolah di Malaysia ditutup selama hampir 35 minggu pada 2021 kerana PKP, dengan kelas dalam talian di rumah menjadi kaedah pengajaran dan pembelajaran utama.
Susulan pembukaan semula sekolah secara fizikal pada Januari tahun ini, bilangan kluster Covid-19 yang melibatkan sektor pendidikan meningkat, tetapi ia kebanyakannya melibatkan sekolah berasrama penuh atau kediaman.
Kementerian Kesihatan mendapati pelanggaran SOP berlaku di luar waktu persekolahan formal, dan terutamanya apabila pelajar berada di asrama. – 17 Februari, 2022.
Komen