Laman web Kementerian Pertahanan, bank Ukraine diserang


Ukraine dakwa laman web Kementerian Pertahanan, tentera dan bank utama di negara itu mengalami serangan siber yang didakwa mungkin dilakukan Russia. – Gambar fail EPA, 16 Februari, 2022.

UKRAINE mendakwa laman web Kementerian Pertahanan, pasukan tentera dan dua bank utama di negara itu mengalami serangan siber yang didakwa mungkin dilakukan Russia.

Perkara itu diumumkan badan pemantau komunikasi Ukraine, ketika negara bekas Soviet itu bimbang kemungkinan serangan dilancarkan tentera Russia yang sedang menjalani latihan di sempadan.

Laman web yang dilaporkan terjejas membabitkan dua institusi kewangan terbesar di Ukraine, Oschadbank dan Privat.

Perkhidmatan kedua-duanya kembali pulih, lewat semalam, namun laman laman web tentera masih tidak dapat diakses beberapa jam selepas laporan awal serangan berkenaan dikeluarkan.

Laman web Kementerian Pertahanan memaparkan mesej ralat tertera “penyelenggaraan teknikal sedang dijalankan”.

Laman web tentera pula memaparkan mesej tertera ia tidak boleh dicapai.

“Tidak boleh dikecualikan mungkin penceroboh menggunakan taktir kotor,” kata badan pemantau itu yang dilihat sebagai merujuk kepada Russia. – AFP, 16 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen