Presiden Argentina jadi saksi kes rasuah timbalannya


Seorang lelaki melihat prosiding mahkamah ketika Presiden Argentina Alberto Fernandez memberi keterangan dalam kes rasuah Naib Presiden Cristina Kirchner di mahkamah di Buenos Aires. – Gambar EPA, 16 Februari, 2022.

PRESIDEN Argentina Alberto Fernandez memberi keterangan sebagai saksi pembela semalam untuk timbalannya, Cristina Kirchner, dalam perbicaraan kes rasuah ketika Kirchner memegang jawatan dari 2007 hingga 2015.

Fernandez hadir sebagai saksi di mahkamah di Buenos Aires, memberi keterangan berhubung apa yang berlaku ketika Kirchner adalah presiden sementara Fernandez adalah ketua stafnya.

Presiden itu boleh memberi keterangan secara bertulis, tetapi beliau memilih untuk hadir sendiri ke mahkamah, menunjukkan sokongan kepada timbalannya.

Kerjasama antara Fernandez dan Kirchner teruji apabila gabungan Frente de Todos (Everyone’s Front) menerima tamparan hebat pada pemilihan di Parlimen pada September.

Kirchner memberi tekanan kepada presiden untuk melakukan rombakan Kabinet dengan harapan dapat meredakan pengundi yang semakin marah kerana masalah ekonomi semakin meruncing.

Tetapi pada pemilihan November, gabungan itu hilang kawalan di Senat – dewan atas Kongres. Dewan Rakyat sudah pun berada dalam kawalan pembangkang.

Pasangan presiden-timbalan itu masih mempunyai tempoh setahun sebelum pilihan raya presiden pada 2023.

Kirchner sedang dibicarakan atas tuduhan penipuan dalam memberi kontrak kerja awam di kawasannya di wilayah Santa Cruz, yang dikatakan memberi manfaat kepada ahli perniagaan Lazaro Baez.

Pihak pendakwa berkata Baez mengenakan bayaran berlebihan untuk projek itu, dengan masih banyak kerja yang terbengkalai.

Kirchner, 68, berdepan berpuluh-puluh siasatan jenayah termasuk menerima rasuah dan penggubahan wang haram. – AFP, 16 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen