10 maut, 14 masih hilang kapal tunda Sepanyol karam


Seramai 10 maut dengan 14 lagi masih hilang selepas kapal pukat tunda Sepanyol karam dalam ombak kuat di timur Kanada semalam, kata pihak berkuasa. – Gambar fail AFP, 16 Februari, 2022.

SERAMAI 10 maut dengan 14 lagi masih hilang selepas kapal pukat tunda Sepanyol karam dalam ombak kuat di timur Kanada semalam, kata pihak berkuasa.

“Kami menemui 10 mayat dan tiga mangsa terselamat,” kata jurucakap Pusat Koordinasi Menyelamat Bersama Kanada (JRCC) Brian Owens.

Seramai 24 kru berada di dalam kapal itu ketika ia karam kira-kira 250 batu nautika timur Newfoundland, dengan pasukan penyelamat masih berusaha mencari baki anak kapal walaupun dalam keadaan cuaca yang sukar.

Kementerian Pengangkutan Sepanyol mengenal pasti anak kapal terbabit sebagai16 warga Sepanyol, lima dari Peru dan tiga dari Ghana.

“Seramai 10 ditemui mati, tiga kelasi ditemui selamat bergayut di pelampung, dan selebihnya masih belum ditemui,” kata pihak berkuasa.

Villa de Pitanxo, kapal memancing sepanjang 50 meter itu berpangkalan di pelabuhan di Galicia, membuat dua panggilan kecemasan pada 5.24 pagi di Madrid, kata kementerian.

Lima jam kemudian, sebuah lagi kapal memancing Sepanyol yang berada di kawasan itu ternampak dua bot penyelamat, dengan salah satu membawa tiga mangsa terselamat dan beberapa mayat, katanya.

Pasukan penyelamat kemudian menemui beberapa mayat lagi. – AFP, 16 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen