Maskot babi parti Dayak tak cetus kekecohon


Desmond Davidson

Karim yang merupakan politikus Melayu-Islam berkata, simbol babi tidak lebih hanya sekadar untuk mendapatkan publisiti politik. Gambar menunjukkan sekumpulan babi saling bercium antara satu sama lain. – Gambar AFP, 7 Februari, 2018.

BABI yang digunakan sebagai simbol untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) oleh Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDS Baru) sebenarnya tidak menimbulkan masalah pun dalam kalangan pengundi mahupun politikus di negeri ini.

“Ia tak bagi kesan pun dekat saya,” kata Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Abdul Karim Rahman Hamzah kepada The Malaysian Insight.

“Sama ada PBDS (Baru) nak guna babi, ayam, naga atau ular sebagai maskot mereka, itu mereka punya hak lah.”

Karim yang merupakan politikus Melayu-Islam berkata simbol itu tidak lebih hanya sekadar untuk mendapatkan publisiti politik.

“Setakat yang saya tahu, parti ini buat macam itu untuk dapatkan publisiti murahan.

“Mereka dah cuba bertanding dalam pilihan raya dan selalu kalah.

“Mungkin dengan menggunakan babi sebagai simbol, nasib mereka akan baik,” katanya secara berseloroh.

Berkaitan reaksi pengguna media sosial mengenai simbol babi itu yang kononnya menyentuh sensitiviti orang Melayu-Islam, Karim berkata, secara peribadi beliau merasakan semua kisah itu melucukan, dan tidak pula menyakitkan hatinya.

“Saya tak tersinggung pun, cuma saya rasa lawak dengan telatah mereka,” katanya.

Berbanding di Semenanjung, orang Melayu-Islam di Sarawak secara lebih toleran dalam perbezaan adat budaya dan agama. Melayu-Islam di negeri ini merangkumi 25% daripada populasi rakyat.

Ditengah kekecohan kecil mengenai babi itu, PBDS Baru bagaimanapun teguh dengan pendirian mereka dengan mengatakan yang babi melambangkan “penyatuan pelbagai suku kaum Dayak di Sarawak.”

Parti itu merujuk kepada upacara pendamaian Kapit pada 1924 yang menamatkan perang antara suku kaum, selain amalan “ngayau” (potong kepala) di Sungai Rajang.

Dalam budaya rakyat Dayak, dipercayai yang babi adalah “perantara kepada suku kaum dan ‘Petara’ (pencipta).

Bagaimanapun, Karim mempersoalkan sejak bila Dayak mengangkat babi sebagai ‘Bentara’ (perantara).

“Saya percaya orang Dayak lebih berkait dengan babi hutan (berbanding babi dalam upacara tradisional). Saya percaya yang babi hanya terkenal selepas diperkenalkan oleh peneroka Cina.

“Saya rasa PBDS Baru keliru.”

Sementara itu, bekas setiausaha politik ketua menteri Sarawak, Awangku Jamuddin Pengiran Kon berkata penggunaan babi itu ibarat “mereka dah hilang punca.”

“Ngembeh beras enggau kopi, gula,” katanya memetik ayat popular kaum Iban yang secara harfiahnya bermaksud sudah kehabisan beras, kopi dan gula.

“Lebih baik mereka guna buaya.”

Buaya Bujang Senang merupakan maskot pasukan bola sepak Sarawak.

Dalam pada itu, pakar sains politik Universiti Malaysia Sarawak Jeniri Amir bersetuju dengan berkata yang PBDS Baru tidak akan dapat memenangi hati pengundi Melayu-Islam di kawasan yang mereka akan bertanding kelak.

“Ia sangat sensitif dan saya tak fikir orang Islam selesa dengan perkara ini.

“Ada beribu maskot yang boleh dipakai, kenapa nak pakai babi?”

Wilfred Nissom dari Parti Rakyat Sarawak, tutur mempersoalkan adakah semua suku kaum Dayak setuju dengan hujah yang babi adalah perantara antara mereka dan “Petara.”

Katanya, ia mungkin kepercayaan suku kaum Iban tetapi beliau pasti bukannya kepercayaan Bidayuh yang mana merupakan suku kaum Nissoms.

Bidayuh adalah salah satu suku kaum Dayak.

PBDS ditubuhkan pada 1983 oleh bekas Menteri Kerja Raya Leo Moggie namun telah dibatalkan pendaftarannya pada Oktober 2004 kerana gagal mengikut arahan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan supaya menangguhkan pilihan raya parti selepas rundingan delegasi pada 2003 diisytiharkan sebagai batal dan tidak sah.

Bagaimanapun, pada 2013 penyokong tegar parti itu mendaftarkan semula dengan menggunakan nama PBDS Baru. – 7 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen