China selesai program bantuan makanan kecemasan untuk Kenya


China secara keseluruhannya menyumbang bantuan bahan makanan kecemasan bernilai AS$55 juta kepada Kenya. – Gambar AFP, 15 Februari, 2022.

KENYA menerima lagi bantuan daripada Program Bantuan Bahan Makanan China 2018 pada Isnin seberat 890 metrik tan yang bertujuan untuk membanteras isu kelaparan dan malnutrisi di negara itu.

Setiausaha Kabinet Kementerian Perkhidmatan Awam dan Jantina Kenya, Margaret Kobia yang turut hadir pada majlis penyerahan bantuan itu merakamkan penghargaan kepada China atas sumbangan itu.

Beliau berkata beras sumbangan China sebelum ini memberikan sokongan terhadap pelan pembekalan makanan di sekolah dan ia turut diagihkan kepada kawasan kemarau bagi meningkatkan kualiti zat makanan kanak-kanak.

Katanya, bantuan kali ini akan difokuskan untuk membantu menyelesaikan isu kekurangan bahan makanan akibat bencana kemarau.

Menteri Penasihat Kedutaan China ke Kenya, Zhang Yijun berkata sejak pelaksanaan program bantuan tersebut dimulakan, China telah menyumbang lebih 11,000 metrik tan beras bernilai AS$12 juta (RM50 juta).

Tambah beliau, sejak 2011, seiring dengan penaiktirafan kerjasama strategik Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), kerajaan China secara keseluruhannya telah menyumbang bantuan bahan makanan kecemasan bernilai AS$55 juta (RM230 juta) kepada Kenya.

Zhang menyatakan bahawa bantuan makanan China kepada Kenya telah membuktikan hubungan perkongsian kerjasama strategik komprehensif yang baik antara kedua-dua negara.

China akan meningkatkan kerjasama dengan Kenya dalam pelbagai bidang untuk menghulurkan bantuan kepada Kenya dalam usaha meningkatkan taraf kehidupan rakyat dan mendorong pembangunan sosioekonomi, tambah beliau. 

Dengan penyerahan bantuan kumpulan kelapan itu sekali gus menandakan China telah melengkapkan untuk keseluruhan program berkenaan. – Bernama, 15 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen