Surat Dr Mahathir kepada pengundi Johor


ASSALAMUALAIKUM dan salam sejahtera.

Besarlah harapan saya agar surat ini menemui saudara dan saudari sekalian dalam keadaan baik dan sihat serta mendapat kerahmatan sentiasa.

Tujuan saya menulis surat ini adalah untuk berkongsi beberapa pandangan berkaitan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Undi saudara dan saudari akan menentu parti mana yang akan menerajui kerajaan negeri Johor dan amatlah penting pilihan yang dibuat, selain memberi kebaikan kepada rakyat, tidak akan merugikan bangsa, agama dan tanah air.

Saya sedar wujud di kalangan saudara dan saudari perasaan PRN Johor ini tidak akan memberi kesan apa-apa tidak kira siapa yang berjaya menerajui negeri.

Di sini ingin saya memberi pandangan kesan PRN Johor ini kepada pilihan raya umum (PRU) amat besar dan tidak boleh diambil ringan.

PRN ini dirancang kumpulan yang dikenali sebagai kluster mahkamah dan kleptokrat daripada Umno. Tujuan mereka ialah untuk memperkukuhkan kedudukan mereka di negeri-negeri sebagai langkah awal sebelum PRU15.

Perancangan mereka ialah apabila menang pada pilihan raya umum nanti, mereka akan dapat mengguna kedudukan untuk menyelesai kes salah guna kuasa, pencurian wang dan harta rakyat.

Ada pengundi yang berkata kumpulan kluster mahkamah dan kleptokrat tidak bertanding dalam PRN Johor. Memang benar tetapi mereka yang bertanding di atas tiket Umno dan Barisan Nasional akan memberi kekuatan kepada kluster mahkamah dan kleptokrat.

Saudara dan saudari,

Rakyat Johor menolak calon Umno dan BN pada dalam PRU14 pada 2018 kerana mereka tidak mahu bertindak dan mendesak Najib Razak untuk melepas jawatan dan sebaliknya terus mempertahannya.

Kali ini, mereka masih lagi mempertahan kleptokrat. Kerana itu parti saya, Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) menyertai PRN Johor dan akan berusaha menyekat kleptokrat dan kluster mahkamah mencapai perancangan mereka.

Saya pasti pengundi Johor akan bersama Pejuang untuk menyekat perancangan mereka.

Saya akan menulis lagi kepada saudara dan saudari, InsyaAllah.

Semoga saudara dan saudari akan terus mendapat keberkatan.

Sekian, terima kasih. – 15 Februari, 2022.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen