KETUA PKR Sarawak menyelar kenyataan terbaru Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkaitan sistem kasta di amalkan Kristian, menyifatkannya sebagai “sembarono yang mengejutkan.”
“Ia adalah kenyataan sembarono yang mengejutkan bagi seorang pemimpin parti politik keluarkan, terutama sekali parti yang mendakwa mempromosi nilai Islam.
“Ia menunjukkan sikap tidak tahu mengenai ajaran Kristian,” kata Baru Bian hari ini.
Hadi dilaporkan mengatakan Islam menghapuskan sistem kasta kerana para ulamanya tidak dianggap suci, sementara agama lain, seperti Hindu dan Kristian, masih mempunyai sistem yang menganggap pastor sebagai tokoh suci.
Adun Ba’Kelalan itu mengatakan Hadi jelas sekali tidak berpengetahuan atau memahami ajaran Kristian dan sewajarnya lebih bijak dan berhati-hati.
“Dua kenyataan tidak logik berturut-turut Hadi Awang- pertama mengenai Kabinet dua lapis- dalam masa sehari tidak boleh dianggap terlepas pandang,” kata Baru.
Katanya, ia adalah “tindakan terancang dengan agenda politik dalam fikiran menjelang PRU14”.
“Kesimpulan yang tak boleh dielakkan boleh dibuat daripada kenyataan Hadi adalah beliau cuba menggambarkan agama lain sebagai tidak bagus, tidak adil, tidak saksama atau bias.”
Baru berkata dengan berbuat demikian Hadi menimbulkan kemarahan atau menyinggung perasaan rakyat Malaysia yang beragama Kristian dan Hindu.
“Kenyataan ini layaknya dianggap hasutan dan menggambarkan Hadi sebagai pemimpin tak bertanggungjawab yang nampaknya tak peduli sama ada kenyataannya menyinggung perasaan pihak lain.
“Berbanding memainkan isu kaum dan agama dan cuba menarik perhatian dengan menghina agama lain, Hadi mungkin boleh berkongsi manifesto partinya untuk menghapuskan korupsi dan kleptokrasi, mengembangkan ekonomi negara ini dan menambah baik kehidupan rakyat.
“Taktik terbarunya tidak memberikan apa-apa kesan bagi meningkatkan keyakinan rakyat yang beliau dan ahli partinya mampu mentadbir sebuah negara pelbagai kaum dan agam seperti negara kita,” kata Baru menyertai gesaan ramai pemimpin Kristian supaya Hadi meminta maaf kepada penganut Kristian dan Hindu kerana kenyataannya itu. – 7 Februari, 2018.
Komen