RIBUAN jururawat di Sydney mengadakan tunjuk perasaan sebagai bantahan terhadap masalah kekurangan kakitangan dan tekanan kerja akibat Covid-19.
Mereka berarak ke Parlimen dengan bersorak, bertepuk tangan dan melaungkan kemarahan kerana kekurangan katil hospital dan peralatan akibat pandemik itu.
Peserta tunjuk perasaan membawa pelbagai jenis sepanduk mengkritik pemimpin politik yang didakwa mengabaikan nasib mereka.
Selama dua tahun, kakitangan perubatan Australia bekerja di bawah protokol Covid-19 yang ketat, dengan menjalankan tugas harian dan melancarkan program vaksinasi yang belum pernah dilaksanakan sebelum ini.
Tetapi beberapa bulan terakhir ini berlaku peningkatan kes jangkitan Covid-19 – menyebabkan pesakit mendapatkan rawatan di hospital sehingga ada jururawat yang turut terjangkit dan terpaksa melakukan kuarantin.
“Masyarakat perlu tahun kebenarannya – jumlah kakitangan di hospital tidak mencukupi pada masa ini, keadaan tidak selamat dan pesakit dalam risiko,” kata Persatuan Jururawat dan Bidan New South Wales.
Jabatan Kesihatan New South Wales dalam satu kenyataan bagaimanapun berterima kasih kepada jururawat kerana bekerja keras selama dua tahun pandemik Covid-19.
Kenyataan itu turut mendakwa terdapat lebih ramai jururawat dan bidan di hospital awam New South Wales berbanding sebelum ini.
Mahkamah Suruhanjaya Perhubungan Perusahaan memerintahkan tiada tindakan perindustrian dikenakan terhadap mereka. – AFP, 15 Februari, 2022.
Komen