Mahkamah tidak benarkan remaja tikam bayi diikat jamin


MAHKAMAH Majistret Kemaman hari ini tidak membenarkan ikat jamin terhadap remaja perempuan berusia 15 tahun yang didakwa membunuh bayinya yang baru lahir minggu lepas.

Ikat jamin tidak dibenarkan bagi kesalahan membunuh tetapi Seksyen 388 Kanun Acara Jenayah membenarkan ikat jamin jika tertuduh adalah bawah umur, wanita atau sakit.

Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman bagaimanapun tidak memberikan sebab mengapa ikat jamin tidak dibenarkan, kata peguam Nurainie Haziqah Shafii yang mewakili tertuduh kepada The Malaysian Insight.

“Kami mohon ikat jamin bagi pihak remaja itu tetapi hakim menolak permohonan itu,” katanya.

Remaja terbabit dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh yang membawa hukuman mati mandatori.

Tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Dia sebelum ini dikenakan tahanan reman tujuh hari bagi membantu siasatan.

Majistret Tengku Eliana menetapkan 16 Mac untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Azhani Azman.

Remaja itu yang dikatakan hamil kerana menjadi mangsa rogol didakwa menikam bayi lelakinya yang baru lahir di sebuah rumah di Kemaman, antara pukul 7 hingga 9 pagi, 8 Februari lepas.

“Saya tidak boleh dedahkan keadaannya, tetapi saya baru saja jumpa dia tadi. Kami memaklumkan kepada mahkamah anak guam saya perlukan penilaian psikiatrik dan rawatan perubatan,” tambah Nurainie.

Tertuduh pada masa ini masih dalam tahanan polis, tetapi masih tidak jelas di mana dia akan ditahan sementara menunggu perbicaraannya berlangsung.

“Saya tidak boleh dedahkan di mana dia berada,” kata peguamnya.

Nurianie berkata peguam membantu remaja bawah umur itu untuk memahami betapa seriusnya pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.

Beliau berkata anak guamnya itu mungkin akan membuat rayuan terhadap keputusan ikat jamin.

Ibu tertuduh hadir di mahkamah hari ini.

Minggu lalu, Ketua Polis Kemaman Superintenden Hanyan Ramlan berkata seorang lelaki dikenal pasti sebagai perogol remaja itu.

Nurainie berkata seorang lelaki berusia 20 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan terhadap dakwaan rogol.

Berkaitan pertuduhan di bawah seksyen 305, Nurainie berkata beliau membawa isu dibangkitkan Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Wanita Dan Kanak-Kanak Dan Pembangunan Sosial Azalina Othman Said yang kanak-kanak tidak sepatutnya didakwa mengikut seksyen berkenaan.

Azalina sebelum ini berkata kes itu sepatutnya diklasifikasikan di bawah Seksyen 309A Kanun Keseksaan, menukar pertuduhan membunuh kepada membunuh bayi dalam tempoh 24 jam selepas kelahiran. – 15 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen