SETIAUSAHA Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres berkata sudah tiba masanya untuk ketegangan antara Russia dan negara Barat diredakan berhubung krisis Ukraine.
Beliau berkata PBB’sangat bimbang dengan ancaman konflik antara Russia dan Ukraine.
“Sudah tiba masanya untuk meredakan ketegangan dan mengurangkan tindakan di lapangan,” kata Guterres, yang sebelum itu bercakap dengan menteri luar Russia dan Ukraine untuk menyatakan kebimbangan seriusnya terhadap situasi itu.
Beliau turut memberitahu media beliau sangat bimbang dengan ketegangan yang semakin memuncak dan peningkatan spekulasi mengenai potensi konflik ketenteraan di Eropah.
“Kita tidak boleh menerima walaupun kemungkinan konfrontasi yang dahsyat. Kita minta semua pihak sedar tidak ada alternatif lain kepada diplomasi,” katanya.
Guterres turut meminta semua pihak menghormati Piagam PBB dan menahan diri daripada ancaman atau penggunaan kekerasan terhadap integriti wilayah atau kemerdekaan politik mana-mana negara.
“Tidak melaksanakan diplomasi untuk konfrontasi bukan langkah terbaik, sebaliknya ia seperti terjun dari tebing,” katanya.
Dalam perbualan telefonnya, Guterres mengulangi mesej kepada diplomat tertinggi Russia, Sergei Lavrov dan Menteri Luar Ukraine Dymtro Kuleba diplomasi adalah satu-satunya jalan untuk bergerak ke hadapan, kata jurucakap PBB Stephane Dujarric.
“Setiausaha agung PBB turut meluahkan kebimbangannya kepada kedua-dua menteri luar Russia dan Ukraine terhadap ketegangan yang semakin memuncak di Ukraine,” kata Dujarric kepada media.
Dujarric berkata Guterres tetap yakin Russia tidak akan menyerang Ukraine, satu pendirian yang dizahirkannya pada sidang media bulan lalu.
PBB menempatkan kira-kira 1,660 kakitangan di Ukraine termasuk 1,440 warga Ukraine dan 220 warga asing.
Majlis Keselamatan PBB dijangka mengadakan mesyuarat tahunan mengenai Ukraine dan perjanjian Minsk, yang bertujuan untuk menamatkan perang di wilayah timur Donbas di Ukraine. – AFP, 15 Februari, 2022.
Komen