SEORANG maut dan 14 orang yang lain cedera semalam apabila dua kereta api bertembung dekat Munich di selatan Jerman, kata polis.
Punca nahas yang berlaku kira-kira jam 4.40 petang waktu tempatan masih belum jelas.
Imej dalam media tempatan menunjukkan penumpang berdiri di sebelah trek selepas kemalangan berlaku dengan sekurang-kurangnya satu gerabak dilihat tergelincir.
“Seorang maut dalam perlanggaran dua kereta api S-Bahn,” kata polis menerusi Twitter.
Seramai 14 orang lagi cedera, kata jurucakap polis kepada AFP.
Nahas berlaku berhampiran stesen kereta api bandar S-Bahn Ebenhausen-Schaeftlarn, barat daya Munich apabila kedua-dua kereta api bertembung antara satu sama lain di satu laluan.
Lebih 200 pekerja penyelamat dan polis dihantar ke tempat kejadian.
Seorang yang cedera pada mulanya terperangkap di dalam gerabak tetapi kemudian berjaya diselamatkan, menurut polis.
Akhbar Bild yang paling laris di Jerman melaporkan kira-kira 95 penumpang berada di dalam dua kereta api berkenaan dan seorang pemandu kereta api terperangkap dalam serpihan gerabak yang hancur.
Landasan di wilayah Bavaria di Jerman ditutup selepas kejadian itu dengan perkhidmatan bas gantian kereta api beroperasi.
Penumpang di dalam kereta api memberitahu akhbar Merkur tempatan bahawa mereka merasakan dentuman kuat sebelum terhumban ke tempat duduk hadapan.
Pengendali kereta api Jerman Deutsche Bahn berkata pihak berkuasa berkaitan sudah menjalankan siasatan.
“Tiada penilaian boleh dibuat mengenai punca kemalangan pada masa ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Perdana Menteri Bavaria Markus Soeder melahirkan rasa kecewa dengan insiden buruk itu dan berterima kasih kepada petugas penyelamat atas tindakan pantas mereka.
Menurut radio tempatan dua kereta api S-Bahn hampir berlanggar di kawasan sama pada Ogos lalu tetapi kedua-dua pemandu dapat memberhentikan kenderaan tepat pada masanya. – AFP, 15 Februari, 2022.
Komen