MUDA mengumumkan setiausaha agungnya Amira Aisya Abd Aziz sebagai calon bertanding di kerusi Puteri Wangsa, satu daripada empat kerusi yang diberikan kepada parti itu oleh Amanah dan awalnya dipertikaikan oleh ahli PKR di akar umbi.
Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumumkan pencalonan Amira, 27, dalam satu majlis di Johor Bahru, malam ini.
“Saya harap kawan-kawan akan memberi sokongan penuh kepadanya, kerana pada akhirnya parti Muda di sini adalah untuk memberi lebih banyak peluang kepada pemimpin yang telah lama berkhidmat sekian lama di dalam dan di luar politik seperti Amira.
“Ini tugas kita untuk mengubah Malaysia menjadi sebuah negara bersatu dan makmur untuk semua tanpa mengira kaum dan agama.
“Terima Amira, tahniah dan takziah, Amira. Permulaan untuk politik khidmat dan politik dasar bermula dengan pencalonan Amira malam ini,” kata Syed Saddiq menutup majlis, yang turut disiar secara langsung melalui Facebook.
Muda setakat ini sah bertanding enam kerusi – empat yang diberikan oleh Amanah dan dua yang diterimanya daripada DAP, sementara PKR menawarkan tiga kerusi.
Semua enam kerusi itu ditandingi Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-14.
Keputusan Amanah memberikan Puteri Wangsa untuk ditandingi Muda bagaimanapun dikecam ahli dan pemimpin PKR di akar umbi.
Ketua Wanita PKR Johor Napsiah Khamis menyifatkannya satu pengkhianatan kepada Pakatan Harapan kerana Puteri Wangsa dianggap kerusi mudah menang.
Beliau juga menuntut PKR meletakkan calon di kerusi itu kerana pihaknya sudah lama bekerja dan menyiapkan jentera di kawasan itu.
Presiden PKR Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan Napsiah bertanding di Kempas.
Amira, yang sebelum ini memegang jawatan bendahari parti, mengambil alih jawatan setiausaha agung penaja daripada Amir Abd Hadi yang letak jawatan kerana menyambung pelajaran ke luar negara, Ogos tahun lepas.
Beliau kekal memegang jawatan itu dalam barisan pimpinan tertinggi parti yang diumumkan minggu lalu, selepas Muda diluluskan pendaftarannya sebagai parti politik Disember lepas. – 14 Februari, 2022.
Komen