Maszlee tanding DUN Layang-Layang, umum Anwar


Presiden PKR Anwar Ibrahim ketika mengumumkan perkara itu berkata Maszlee Malik yang akan bertanding di DUN Layang-Layang pada pilihan raya Johor nanti merupakan tokoh berpengalaman yang akan berjaya dengan cemerlang di DUN tersebut. – Gambar PKR, 14 Februari, 2022.

BEKAS menteri pendidikan Maszlee Malik telah dicalonkan oleh PKR untuk bertanding di DUN Layang-Layang dalam pilihan raya Johor, kata Anwar Ibrahim.

Presiden PKR ketika mengumumkan perkara itu berkata Maszlee merupakan tokoh yang akan berjaya di DUN tersebut.

“Walaupun beliau baru dalam parti, beliau tokoh yang berpengalaman, dan telah perjuangkan isu yang sama seperti kita.

“Saya yakin beliau akan berjaya dengan cemerlang di Layang-Layang,” kata Anwar pada majlis yang diadakan di bilik gerakan PKR Rengit. Acara itu disiarkan secara langsung di saluran media sosial parti.

Kerusi Layang-Layang merupakan satu daripada dua kerusi DUN di bawah Parlimen Maszlee di Simpang Renggam.

Bekas pemimpin Bersatu itu juga disebut-sebut sebagai calon menteri besar Johor.

Anwar sepatutnya mengumumkan calon PKR untuk zon tengah dan timur namun beliau hanya mengumumkan pencalonan Maszlee.

Katanya beliau memerlukan beberapa hari lagi untuk mengumumkan baki calon bagi zon berkenaan.

Beliau juga berkata pengumuman untuk zon timur malam ini juga ditangguhkan.

“Bagi yang lain - timur dan tengah, biar ada saspen supaya ramai bekerja lebih keras,” katanya.

Awal petang tadi, Anwar mengumumkan lima calon PKR untuk zon selatan.

Lima calon itu ialah S. Gopalakrishnan (Tiram), Dr Zamil Najwah Arbain (Larkin), Napsiah Khamis (Kempas), Chiong Sen Sern (Bukit Batu) dan Mohd Fakharuddin Moslim (Bukit Raja).

PKR sepatutnya mendedahkan 20 calon hari ini tetapi ditangguhkan yang mungkin disebabkan rundingan berterusan dengan Muda yang menuntut tiga kerusi daripada PKR.

Terdahulu Amanah dan DAP telah memberikan enam kerusi kepada Muda untuk bertanding. – 14 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen