DIPLOMAT di kedutaan Afghanistan di Washington, serta konsulat Afghanistan di New York dan Los Angeles, kebanyakannya terpaksa menyara kehidupan mereka dengan menggunakan wang simpanan atau membuat pinjaman kerana belum dibayar gaji sejak beberapa bulan, lapor Sputnik.
Menurut The New York Times pada Ahad, Kedutaan Afghanistan di Washington terus memproses permintaan konsular dan menerima kira-kira AS$2,000 hingga AS$3,000 bayaran setiap bulan, hanya cukup untuk membayar utiliti.
Diplomat Afghanistan tidak dibayar gaji sejak Oktober 2021, apabila bank Amerika Syarikat membekukan akaun bagi menghalang Taliban daripada mendapat akses kepada dana kedutaan, kata pegawai kepada The New York Times.
Jika bangunan kedutaan ditutup, rakyat Afghanistan akan dapat memanfaatkan kekebalan diplomatik dan pemastautin selama 30 hari sahaja, kata akhbar itu, memetik memo Jabatan Negara.
Jika diplomat Afghanistan tidak diberikan suaka atau pemastautin sah lain pada masa yang ditetapkan, mereka tidak boleh terus kekal di AS.
Jurucakap Perkhidmatan Kewarganegaraan dan Imigresen AS Matthew Bourke, memberitahu akhbar itu bahawa 31 warga Afghanistan, termasuk diplomat dan ahli keluarga mereka, setakat ini telah memohon untuk menukar status mereka kepada pemastautin tetap.
Timbalan Ketua Misi Kedutaan Afghanistan Abdul Hadi Nejrabi, memberitahu akhbar itu bahawa kira-kira 55 diplomat Afghanistan dan ahli keluarga mereka di AS sedang memohon suaka.
Presiden AS Joe Biden pada Jumaat menandatangani perintah eksekutif untuk membenarkan AS$7 bilion dana Bank Pusat Afghanistan yang disimpan di AS dibahagikan antara amanah kemanusiaan dan pampasan kepada mangsa keganasan. – Bernama, 14 Februari, 2022.
Komen