Bekas pembantu AADK didenda RM10,000 terima suapan RM3,000


SEORANG bekas pembantu Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK)  hari ini didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di Alor Setar selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan menerima suapan sebanyak RM3,000 pada 2016.

Hakim Harmi Thamri Mohamad menjatuhkan hukuman itu terhadap Erwan Yahya, 46, dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda.

Hakim itu berkata mahkamah menjatuhkan hukuman tersebut selepas mengambil kira kepentingan awam supaya dapat memberi pengajaran kepada masyarakat agar kesalahan sama  tidak berulang terutama dalam kalangan penjawat awam.

Erwan yang ketika itu bertugas sebagai Pembantu AADK Daerah Kuala Muda dituduh menerima wang RM3,000 dengan tiada balasan daripada Muhammad Russul Muhammad Radzi yang diketahuinya lelaki itu ada perhubungan dengan kerja rasminya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu dalam sebuah kereta di Bandar Puteri Jaya di Sungai Petani pada 5.30 petang 7 Disember 2016. Pertuduhan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Erwan juga menghadapi pertuduhan kedua iaitu bersama Norzarenawati Osman, 39, dengan niat bersama bersetuju menerima satu suapan, wang RM3,000 daripada Muhammad Russul sebagai dorongan melepaskan seorang lelaki lain kerana positif dadah jenis syabu dalam saringan awal ujian air kencingnya yang merupakan satu kesalahan di bawah Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan 1983).

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di rumah kosong di Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani pada 3 petang tarikh sama.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Sekiranya sabit kesalahan, boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan jika suapan tersebut dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi.

Bagaimanapun, mahkamah mempertimbangkan pertuduhan kedua itu mengikut Seksyen 171A Kanun Prosedur Jenayah selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan pertama itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Tan Sew Ping manakala tertuduh diwakili peguam Alias Ibrahim. – Bernama, 14 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen