KEMBOJA sedang memperkasakan Gerbang Internet Nasional terbaharu, langkah yang didakwa aktivis akan terus menyekat suara pembangkang di negara itu.
Pakar hak asasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut memberi amaran mengenai langkah itu yang akan mengawal gerbang internet mulai 16 Februari ini kerana ia akan memberi kesan kemusnahan terhadap privasi dan kebebasan bersuara.
Pengkritik berkata langkah itu juga dilihat sebagai strategi terbaru pemerintah Hun Sen untuk mengekang perbezaan pendapat di negara itu.
Kemboja setakat ini menyekat berpuluh-puluh siaran dalam talian sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Antara individu dipenjarakan termasuk artis hip-hop, Kea Sokun susulan liriknya mengenai ketidakadilan dan rasuah yang menyentuh hati golongan muda Kemboja yang tidak berpuas hati.
Kea Sokun yang muziknya itu mendapat jutaan tontonan di YouTube, berkata polis berpakaian rasmi datang mengetuk pintu rumahnya pada September 2020 dan bertanya “siapa yang menyokong saya?”.
Dia kemudiannya ditangkap dan disabitkan dengan tuduhan menghasut dan dikenakan hukuman penjara setahun.
Pendekatan pemantauan internet terbaru itu akan menyebabkan ramai lagi individu mengalami nasib serupa.
Tahun lalu, seorang remaja autisme, anak kepada tokoh pembangkang yang dipenjarakan, turut dijatuhi hukuman penjara lapan bulan kerana mesej Telegram yang dianggap menghina kerajaan. – AFP, 14 Februari, 2022.
Komen