UKRAINE telah meminta satu pertemuan segera dengan Rusia dan berpuluh-puluh negara Eropah lain bagi menjelaskan pembentukan pasukan tentera Moscow di sepanjang sempadan bekas negara Soviet itu.
Menteri Luar Dmytro Kuleba berkata Rusia tidak mengendahkan permintaan rasmi Kyiv untuk penjelasan tentang mengapa Moscow telah menempatkan lebih daripada 100,000 tentera dan senjata canggih di sekitar Ukraine.
“Ukraine sedang mengadakan pertemuan dengan Rusia dan semua negara anggota dalam tempoh 48 jam akan datang bagi membincangkan pengukuhan dan pergerakan tentera Rusia di sepanjang sempadan kita,” tulisnya dalam satu hantaran di Facebook pada Ahad.
Dokumen Vienna 1990 memerlukan 57 ahli Pertubuhan Keselamatan dan Kerjasama di Eropah (OSCE) untuk berkongsi maklumat tentang pasukan tentera mereka dan memberitahu satu sama lain tentang aktiviti utama.
Tiada maklum balas segera dari Moscow terhadap permintaan Kuleba.
Amerika Syarikat bimbang kemunculan tentera Rusia boleh membawa kepada pencerobohan ke atas Ukraine “bila-bila masa”. – AFP, 14 Februari, 2022.
Komen