Tentera Israel bunuh remaja Palestin di Tebing Barat


Kementerian kesihatan Palestin berkata Mohammed Abu Salah, 17, telah dibunuh di perkampungan Silat al-Harithiya berhampiran Jenin di Tebing Barat yang diduduki Israel. – Gambar EPA, 14 Februari, 2022.

TENTERA Israel menembak mati seorang rakyat Palestin berusia 17 tahun dalam pertempuran di Tebing Barat dalam apa yang disifatkan Israel pada Isnin sebagai operasi untuk merobohkan rumah seorang “pengganas”.

Kementerian kesihatan Palestin berkata Mohammed Abu Salah telah dibunuh di perkampungan Silat al-Harithiya berhampiran Jenin di Tebing Barat yang diduduki Israel.

Tentera Israel dalam satu kenyataan berkata tenteranya bersama polis sempadan telah memasuki kampung itu “untuk merobohkan kediaman di mana pengganas Muhammad Jaradat tinggal”.

Ia berkata Jaradat dan yang lain telah melakukan tembakan maut baru-baru ini terhadap seorang peneroka Yahudi di Tebing Barat.

Tentera berkata “rusuhan ganas” tercetus menjelang perobohan yang dirancang, “dengan penyertaan ratusan rakyat Palestin,” yang sebahagian daripadanya melontar bahan letupan ke arah tentera Israel.

“Tentera mengenal pasti beberapa perusuh bersenjata, dan melepaskan tembakan ke arah mereka untuk meneutralkan ancaman itu,” kata kenyataan tentera tanpa mengulas langsung mengenai kematian remaja itu.

Israel kerap memusnahkan rumah individu yang dikatakan telah melakukan serangan ke atas Israel, di Tebing Barat dan timur Baitulmaqdis.

Amalan itu, yang sering mencetuskan ketegangan, telah dikutuk oleh pengkritik sebagai satu bentuk hukuman kolektif. Israel menegaskan ia menghalang serangan.

Tentera berkata Jaradat bertanggungjawab atas kematian Yehuda Dimentman, seorang pelajar agama berusia 25 tahun yang ditembak mati di Tebing Barat pada Disember.

Seorang bapa yang sudah berkahwin, Dimentman sedang belajar di sebuah sekolah agama di penempatan Homesh di Tebing Barat apabila dia terbunuh dalam satu tembakan yang mencederakan beberapa yang lain.

Israel menahan beberapa orang sejak beberapa hari selepas ia berlaku.

Kira-kira 475,000 peneroka Yahudi tinggal di Tebing Barat, bersama kira-kira 2.9 juta rakyat Palestin, dalam komuniti yang secara meluas dianggap sebagai haram di bawah undang-undang antarabangsa.

Homesh antara penempatan yang Israel anggap sebagai haram.

Ia telah dipindahkan oleh tentera Israel pada 2005 tetapi peneroka masih meneruskan operasi di sana, mencetuskan ketegangan dengan rakyat Palestin.

Israel telah menduduki Tebing Barat sejak Perang Enam Hari 1967. – AFP, 14 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen