VIETNAM akan melonggarkan sekatan koronavirus bagi penerbangan antarabangsa untuk penumpang yang lengkap vaksin, bermula esok, kata pihak berkuasa.
Negara komunis itu menutup sempadannya sejak Mac 2020 akibat pandemik, dan langkah itu menjejaskan sektor pelancongan yang menjadi antara nadi utama ekonomi negara itu.
Pihak berkuasa secara berperingkat mengurangkan sekatan Covid-19 sejak beberapa bulan ini, dengan membenarkan pelawat berkunjung menerusi program gelembung perjalanan sejak November.
Bermula esok, Vietnam akan menarik balik sekatan terhadap penumpang pesawat berjadual dan tidak berjadual, kata pihak berkuasa penerbangan.
Menerusi satu kenyataan dikeluarkan semalam, ia tidak menyatakan berapa banyak penerbangan dibenarkan masuk, tetapi ketibaan pengunjuk dibenarkan kembali kepada kadar sebelum pandemik.
Individu yang mahu ke Vietnam perlu mengambil vaksin lengkap dan menjalani kuarantin tiga hari, sama ada di rumah atau di hotel.
Pihak berkuasa berkata pengunjung perlu mematuhi semua peraturan sebelum masuk dan syarat kesihatan pra pandemik.
Lebih 90% populasi dewasa di negara itu menerima dua dos vaksin Covid-19. Kerajaan sedang mempertimbangkan mengimunisasi remaja dan pada masa sama menggiatkan pemberian suntikan penggalak.
Vietnam pada masa ini melaporkan kira-kira 20,000 kes baharu setiap hari dan merekodkan lebih 2.5 juta kes dengan 39,000 kematian sejak pandemik bermula. – AFP, 14 Februari, 2022.
Komen