Hishammuddin wajar letak jawatan menteri kendali Covid-19


PADA September 2021, Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Hussein ditugaskan oleh Perdana Menteri supaya mengetuai usaha menguruskan Covid-19 di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN). 

Beliau pernah berkata: “antara arahan yang diberikan oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob kepada saya adalah untuk menyemak semula dan memperbaiki SOP sedia ada dari semasa ke semasa”.

Hishammuddin yang mempengerusikan Mesyuarat Kuartet Menteri Covid-19 (yang terdiri daripada Kementerian Pertahanan, Kementerian Kesihatan, Kementerian Kewangan termasuklah Kementerian Komunikasi dan Multimedia) sebelum ini mengumumkan pelbagai jenis SOP Covid-19 termasuk untuk ibadah umrah, MyTravelPass malah beliau turut memberi jaminan yang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan dikendalikan dengan selamat.

Oleh sebab itu, adalah sesuatu yang tidak boleh dimaafkan apabila beliau sendiri didapati melanggar SOP Covid-19 di majlis persiapan PRN Johor anjuran MIC Johor baru-baru ini. 

Walaupun Menteri Kesihatan mengarahkan Hishammuddin dan pemimpin kanan BN yang lain dikenakan kompaun, Hishammuddin bagaimanapun mengakui yang beliau melanggar SOP dalam jawapan balas beliau kepada tweet saya semalam.

Selaku penganjur MIC Johor sepatutnya dipersalahkan kerana gagal mengawal kehadiran orang ramai namun sebagai seorang menteri yang mempunyai polis pengiring, pengawal peribadi dan pegawai khas (yang selalu hadir lebih awal untuk memastikan semuanya mengikut perancangan sebelum ketibaan menteri), pelanggaran SOP Covid oleh seorang Menteri Kanan Pertahanan dalam sebuah majlis seperti itu adalah sesuatu yang tidak boleh dimaafkan. 

Tindakan tersebut jelas memperlihatkan sikap sombong dan mementingkan diri sendiri kepimpinan Barisan Nasional yang lebih mengutamakan politik Johor berbanding keselamatan rakyat.

Mengenakan kompaun sahaja tidak mencukupi terutama untuk seorang Menteri Kanan yang duduk di barisan Eksekutif dan pernah dilihat menghisap vape di dalam Parlimen yang telah diisytiharkan sebagai kawasan larangan merokok oleh Menteri Kesihatan.

Jika di negara lain, Menteri mereka akan meletak jawatan jika didapati melanggar SOP. 

Saya berpendapat, Hishammuddin tidak sepatutnya dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan dan mengumumkan SOP Covid di peringkat kebangsaan lagi. 

Bagaimana kita boleh mempercayai beliau untuk memutuskan SOP untuk rakyat Malaysia? 

Ini bukan sekadar melanggar peraturan yang dibuat oleh diri sendiri. Ini adalah satu lagi tindakan cuai secara terang-terangan oleh kepimpinan Barisan Nasional Johor sehingga memaksa PRN diadakan ketika rakyat Johor masih belum pulih daripada kesan Covid. 

Ini adalah kegagalan kepimpinan yang serius dan Hishammuddin mesti meletak jawatan atau digugurkan sebagai Menteri Kanan. 

Jika tidak, rakyat Johor perlu menghukum pentadbiran Kerajaan BN/PN ini kerana tindakan cuai mereka kini sudah menjadi kebiasaan. – 14 Februari, 2022.

* Hannah Yeoh, Ahli Parlimen Segambut


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen