POLIS Kanada mengosongkan laluan di jambatan utama di sempadan Amerika Syarikat (AS) semalam, yang dipenuhi penunjuk perasaan terdiri daripada pemandu trak mengadakan protes membantah peraturan sekatan Covid-19.
Laluan itu dikosongkan selepas polis bertindak menunda kenderaan di atas jambatan itu serta menahan beberapa individu bagi mengekang pergerakan kumpulan itu, yang turut melumpuhkan ibu kota Ottawa.
Datuk Bandar Windsor Drew Dilkens berkata tindakan itu pengakhiran kepada krisis ekonomi nasional di Jambatan Duta.
“Laluan merentasi sempadan akan dibuka semula apabila keadaan selamat,” katanya dalam satu kenyataan. Pihak berkuasa AS yang menggesa penyelesaian segera berikutan halangan penunjuk perasaan memberi kesan pada industri automotif kedua-dua negara, memuji langkah itu dan berharap jambatan itu dibuka segera.
Penasihat keselamatan nasional White House Liz Sherwood-Randall berkata pegawai AS dan Kanada bersetuju dengan keperluan melaksanakan tindakan yang pantas, kukuh dan menyekat sebarang halangan pada masa depan.
Setakat tengah hari semalam, polis terus mengepung kawasan itu, dengan penunjuk perasaan masih berkumpul berhampiran jambatan berkenaan dan polis memberi amaran akan membuat tangkapan.
Tunjuk perasaan itu mencetuskan beberapa protes sama di beberapa negara lain, termasuk di Perancis, Belanda, Switzerland, Australia dan New Zealand, dengan beberapa pemandu trak AS merancang mengadakan protes bulan depan.
Sepanjang hari semalam, ribuan penunjuk perasaan masih melumpuhkan ibu negara Kanada, dan Menteri Keselamatan Awam dan Kesiapsiagaan Kecemasan Bill Blair berkata kesabaran pihaknya semakin di penghujung.
“Cukuplah. Situasi ini perlu berakhir. Situasi di Ottawa tidak boleh diterima dan keterlaluan. Polis perlu memulihkan keadaan dan menguatkuasakan undang-undang di bandar ini,” katanya kepada CBC. – AFP, 14 Februari, 2022.
Komen