.jpg)
SEMASA Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Barisan Nasional (BN) mendapat hanya 38% undi popular namun memperolehi majoriti 2/3 kerusi di DUN Melaka.
Keadaan ini mungkin dianggap pelik, namun itulah hakikatnya. Ia berlaku kerana undi yang menolak BN telah berpecah antara Pakatan Harapan (PH), yang mendapat 37% dan Perikatan Nasional (PN), yang mendapat 25% undi popular.
Memecahkan “undi menolak BN” adalah peranan yang dimainkan PN dan inilah apa yang diharapkan para strategis BN. Dan inilah apa yang berlaku. Apabila “undi menolak BN” berpecah, maka BN akan menang walaupun tidak popular di kalangan majoriti pengundi.
Di Melaka 62% pengundi menolak BN, namun hasil strategi pecah dan perintah ini, BN muncul sebagai pemenang dengan penuh bergaya. BN menang dengan mencapai 2/3 majoriti di Dewan Undangan Negeri Melaka!
Sebenarnya strategi yang sama diusahakan BN semasa PRU14. Pada masa itu PAS digunakan sebagai alat pecah dan perintah dengan dipujuk dan dipikat BN untuk meninggalkan Pakatan Rakyat (PR). Harapan BN adalah, dengan itu PR akan kalah di pantai barat kerana PR akan kehilangan undi PAS. Sambil itu, PAS akan kalah di pantai timur kerana kehilangan undi PR.
Strategi ini gagal apabila pembentukan PH bersama Dr Mahathir Mohamad dan Bersatu berjaya dilakukan. Akibatnya, di pantai barat, undi BN sendiri berjaya dikurangkan apabila sebahagian pengundi BN mengundi PH dan undi PH melebihi undi BN walaupun PH kehilangan undi PAS.
Sebagai contoh, di Shah Alam, undi BN berkurangan daripada 38,000 semasa PRU13 ke hanya 22,000 pada PRU14. Maka, walaupun PH kehilangan 15,000 undi PAS, namun PH mendapat undi tambahan sebanyak 16,000, iaitu dari pengundi yang undi BN pada PRU13.
Di pantai timur, strategi ini gagal juga kerana pengundi PH mampu membaca strategi BN. Kebanyakan mereka memutuskan untuk tidak mengundi PH pada PRU14 kerana kalau itu dilakukan maka BN akan menang. Secara sedar, mereka mengundi PAS kerana pada ketika itu PAS tetap dianggap lebih baik dan kurang mudaratnya berbanding BN.
Oleh itu “undi tolak BN” berjaya disatukan di pantai timur menghasilkan kemenangan PAS. Namun demikian, malangnya, PAS setelah menang lupa daratan dan sanggup terus diperalatkan BN sehingga digelar sebagai sekadar “bohsia” dan “pelacur” oleh pimpinan BN.
Dalam suasana dan realiti sebegini, PN sebenarnya memegang kunci kepada kekalahan BN di Johor.
Setelah puas digunakan BN, PAS dan Bersatu sekarang ini ingin dibuang oleh BN. Ini jelas berlaku di Melaka di mana selepas PRN Melaka, dua Adun Bersatu diabaikan BN dan mereka duduk bersama pembangkang yang diketuai Adly Zahari.
PN terus dihina BN dengan gelaran memalukan dan diperlakukan sebagai kumpulan yang tiada nilai dan tidak bermaruah. Ini dilakukan walaupun BN masih memerlukan sokongan PN di Putrajaya.
Hina sungguh PN dilakukan sedemikian rupa oleh BN namun BN yakin PN tidak akan bertindak balas kerana perkara yang amat sangat disayangi mereka sedang dipegang kemas oleh BN.
Mereka tidak mampu melawan balik, selain mengeluarkan kata-kata manja memujuk dan merayu.
Namun, sepertimana saya sebutkan tadi, sebenarnya PN memegang kunci kepada kekalahan BN di Johor. Sekiranya PN tidak lagi sanggup diperalatkan sebagai pemecah “undi menolak BN” maka BN akan dapat dikalahkan di Johor.
PN kena akui, peranan yang dimainkan mereka di Melaka akan berulang di Johor. Sepertimana di Melaka, PN tidak mampu mengatasi undi BN dan PH. Akhirnya BN juga akan menang kerana PN bertindak sekadar pemecah “undi menolak BN”.
Dengan kemenangan BN itu, PN akan terus dihina dan diperlekehkan serta nilai yang ada pada PN tidak akan disedari atau dihargai. Dan seterusnya, begitu jugalah kisahnya pada PRU15 kelak.
PRU15 mungkin terhasil apabila PN tidak lagi tahan dengan penghinaan dan jolokan pemimpin BN dan menarik sokongan mereka terhadap kerajaan BN pimpinan Ismail Sabri. Atau apabila BN sendiri menganggap ianya sesuai diadakan setelah PN terus berpaut untuk bersama walaupun dihina dan diperlekeh setiap hari dan ketika.
Pada PRU15 itu, akan berulang kembali suasana yang sama dan PN akan kalah sekali lagi dan dipinggirkan seperti di Melaka dan juga semestinya, di Johor.
Oleh itu saya harap PN memahami betapa mereka telah dan sedang digunakan BN untuk memuaskan nafsu BN untuk berkuasa bersendirian. Dengan itu PN perlu hentikan dirinya dipergunakan sebegitu rupa dan menzahirkan diri sebagai parti yang bermaruah dan mempunyai harga diri.
Hentikan diri daripada digunakan sebagai pemecah “undi menolak BN” dengan tidak bertanding dalam PRN Johor. BN akan kalah dan dengan kekalahan ini BN akan kembali merayu dan memujuk PN untuk bersama dalam PRU15. Baru akan terzahir nilai tambah yang dibawa PN.
Mungkin apa yang dicadangkan akan dilihat agak ekstrem oleh sebahagian pimpinan PN. Namun ini sahaja caranya untuk mengajar BN yang puas memperalatkan PN dari sejak Langkah Sheraton. Perlu diperakui kelicikan BN. Menyokong PN pada awalnya hanya untuk muncul sebagai juara akhirnya.
Pepatah Melayu menyebut, “sokong membawa rebah” dan inilah nasib PN di tangan BN. Disokong pada awalnya supaya PH dijatuhkan dan akhirnya dijatuhkan pula PN dengan penuh hina dan nista.
Saya ulangi, PN pegang kunci kepada kekalahan BN di Johor. Kalau PN boikot PRN Johor, “undi tolak BN” akan menyatu dan BN akan dikalahkan. Baru BN tahu langit tinggi atau rendah dan datang melutut kepada PN untuk bersama dalam menghadapi PH semasa PRU15. – 14 Februari, 2022.
* Khalid Abd Samad ialah pengarah komunikasi Amanah.
Komen