POLIS Israel bertempur dengan penduduk Palestin di kawasan Sheikh Jarrah di timur Baitulmaqdis, semalam ketika lawatan seorang ahli Parlimen kontroversi berhaluan kanan.
Polis berkata lapan individu ditahan kerana didakwa terbabit dalam rusuhan dan keganasan di timur Baitulmaqdis yang diceroboh, lokasi yang menjadi simbol penentangan rakyat Palestin terhadap Israel.
Pertembungan itu berlaku ketika wakil pakatan Religious Zionism, Itamar Ben Gvir membuka pejabat Parlimen di Sheikh Jarrah, yang disifatkannya sebagai usaha membantu penduduk Yahudi di situ.
Ben Gvir yang juga nasionalis Yahudi dan pernah mengeluarkan kenyataan provokasi mengenai rakyat Palestin, menuduh polis gagal bertindak terhadap dakwaan rumah seorang penduduk Yahudi dibakar di Sheikh Jarrah.
Beliau yang membuka pejabat di bawah khemah, bertegas akan terus berada di situ hingga polis “menjaga keselamatan penduduk Yahudi”.
“Nyawa penduduk Yahudi menjadi tidak bernilai,” katanya menerusi Twitter sebelum lawatan itu.
Ben Gvir turut menggesa penyokongnya berhimpun di kawasan itu, di mana ia dilihat berpotensi untuk berlaku kekecohan.
Rakyat Palestin turut digesa berkumpul, manakala satu kumpulan Yahudi Israel yang tidak bersetuju dengan Ben Gvir, mengedarkan petisyen dalam talian bagi menggesa penduduk menuju ke Sheikh Jarrah sebagai tanda sokongan terhadap rakyat Palestin.
Kesatuan Eropah (EU) menerusi Twitter meluahkan kebimbangan terhadap pertempuran ganas itu, dan menegaskan sebarang provokasi dan tindakan seumpamanya di kawasan sensitif itu hanya akan menambah ketegangan dan ia perlu dihentikan.
Pihak Berkuasa Palestin yang berpusat di Tebing Barat turut menyelar lawatan Ben Gvir dan menyifatkannya sebagai langkah provokatif yang berisiko mencetus keganasan yang sukar dikawal.
Ketegangan yang memuncak di Sheikh Jarrah berlaku sejak tahun lalu berikutan sejumlah keluarga Palestin dihalau penceroboh Israel, dan ia antara punca perang antara Israel dan kumpulan bersenjata di Semenanjung Gaza pada Mei tahun lalu.
Lebih 200,000 penduduk Yahudi menetap di timur Baitulmaqdis dalam komuniti penceroboh yang dilihat melanggar undang-undang antarabangsa.
Israel menawan timur Baitulmaqdis ketika Perang Enam Hari pada 1967 sebelum menambah kawasan itu sebagai sebahagian daripada Israel, tetapi langkah itu tidak diiktiraf kebanyakan masyarakat antarabangsa. – AFP, 14 Februari, 2022.
Komen