4 aktivis wanita Afghanistan yang hilang dibebaskan


Wanita di Afghanistan sering menjadi ancaman pihak berkuasa di negara itu apabila mereka sering dikenakan beberapa sekatan keras. – Gambar EPA, 14 Februari, 2022.

EMPAT aktivis wanita di Afghanistan dibebaskan oleh pihak berkuasa de facto negara itu selepas hilang beberapa minggu lalu, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu semalam.

Sejak kembali berkuasa pada Ogos Taliban bertindak keras terhadap perbezaan pendapat dengan menyuraikan perhimpunan wanita secara paksa, menahan pengkritik dan sering memukul wartawan tempatan yang membuat liputan protes tanpa kebenaran.

Tamana Zaryabi Paryani, Parwana Ibrahimkhel, Zahra Mohammadi dan Mursal Ayar hilang selepas menyertai perhimpunan anti-Taliban tetapi pemerintah Islam garis keras Afghanistan – yang kerajaannya masih tidak diiktiraf oleh mana-mana negara secara konsisten menafikan menahan mereka.

“Selepas tempoh yang lama tidak menentu tentang keberadaan dan keselamatan mereka, empat aktivis wanita Afghanistan dan saudara mereka yang turut hilang, kesemuanya dibebaskan oleh pihak berkuasa de facto,” menurut kenyataan Misi Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Afghanistan (UNAMA) menerusi Twitter. 

AFP melaporkan pembebasan Ibrahimkhel pada Jumaat lepas. Beliau hilang bersama Paryani pada 19 Januari beberapa hari selepas mengambil bahagian dalam perhimpunan di Kabul yang menyeru hak wanita untuk bekerja dan pendidikan.

Beberapa minggu kemudian Mohammadi dan Ayar hilang. Beberapa saudara kepada empat penunjuk perasaan wanita juga hilang.

Sejurus sebelum beliau menghilangkan diri rakaman Paryani dikongsi di media sosial menunjukkan dia dalam kesusahan, memberi amaran kepada pejuang Taliban di pintu rumahnya.

Dalam video itu Paryani menjerit: “Tolong bantu! Taliban telah datang ke rumah kami di Parwan 2. Adik-adik saya ada di rumah,”.

Pembangkang beri amaran

Jurucakap kerajaan Taliban Zabihullah Mujahid memberitahu AFP dalam satu temubual baru-baru ini bahawa pihak berkuasa mempunyai hak “untuk menangkap dan menahan penentang atau mereka yang melanggar undang-undang” selepas kerajaan mengharamkan protes tanpa kebenaran sejurus selepas berkuasa.

Taliban menjanjikan peraturan lebih longgar selepas peraturan keras pada tempoh pertama mereka berkuasa dari 1996 hingga 2001.

Tetapi pihak berkuasa wilayah mengenakan beberapa sekatan ke atas wanita dan mengeluarkan garis panduan tetap tentang cara mereka harus hidup.

Pihak berkuasa baharu melarang wanita bekerja di beberapa sektor kerajaan dan kebanyakan sekolah menengah perempuan masih ditutup.

Taliban juga mengeluarkan arahan wanita tidak boleh melakukan perjalanan antara bandar dan bandar melainkan ditemani oleh saudara lelaki terdekat.

Mereka memasang poster di banyak kedai di seluruh Kabul dan di bandar lain yang menggalakkan wanita memakai burqa yang menutupi keseluruhannya.

Awal bulan ini Taliban menahan dua wartawan asing yang bekerja untuk agensi pelarian PBB, UNHCR.

Bekas wartawan BBC Andrew North dan seorang lagi wartawan asing dibebaskan pada Jumaat selepas beberapa hari dalam tahanan, kata UNHCR.

Mujahid berkata mereka ditahan kerana tidak memiliki kad pengenalan dan dokumen sah.

“Sebilangan” warga Britain juga ditahan di Afghanistan, kata kerajaan UK kepada AFP pada Sabtu sambil menambah ia sudah membangkitkan isu itu dengan pegawai di sana.

Taliban bagaimanapun berada di bawah tekanan daripada masyarakat antarabangsa untuk menghormati hak asasi manusia ketika kumpulan itu terlibat dalam perbincangan dengan negara Barat dan penderma global untuk mendapatkan bantuan bagi menangani krisis kemanusiaan Afghanistan.

“UNAMA menyeru agar hak setiap warga Afghanistan dihormati,” kata misi PBB semalam. – AFP, 14 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen