Banyak negara gesa rakyat tinggalkan Ukraine


Polis Ukraine dan anggota tentera Pengawal Kebangsaan mengambil bahagian dalam latihan ketenteraan berhampiran perkampungan kawasan Kherson, Ukraine Selatan. – Gambar EPA, 14 Februari, 2022.

BANYAK negara menggesa rakyat mereka untuk meninggalkan Ukraine dan mengurangkan kakitangan diplomatik selepas bimbang sekiranya negara itu diceroboh oleh Rusia.

Antara negara yang meminta rakyat mereka meninggalkan Ukraine ialah Amerika Syarikat, Jerman, Itali, Britain, Ireland, Belgium, Luxembeourg, Belanda, Kanada, Norway, Estonia, Lithuania, Bulgaria, Slovenia, Australia, Jepun, Israel, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu.

Perancis menasihatkan supaya tidak melakukan perjalanan ke kawasan sempadan di utara dan timur Ukraine tetapi tidak meminta rakyatnya untuk meninggalkan negara itu.

Romania yang bersempadan dengan Ukraine menyarankan warganya mengelak perjalanan ke negara itu dan menilai semula keperluan untuk tinggal jika sudah berada di sana.

Moscow telah memanggil semula beberapa kakitangan diplomatiknya dengan mengatakan bimbang sekiranya ada provokasi.

Amerika Syarikat mengarahkan keluar sebahagian besar kakitangan diplomatiknya di Kyiv dan berkata serangan Rusia boleh bermula bila-bila masa dari sekarang. Washington akan mengekalkan kehadiran konsular di bandar barat Lviv.

Kanada menutup kedutaannya di Kyiv buat sementara waktu dan memindahkan operasi diplomatik ke Lviv, begitu juga Australia.

Badan Kesatuan Eropah menyarankan kakitangan diplomatik yang tidak penting di Kyiv meninggalkan negara itu dan melakukan telekomunikasi dari luar negara.

Romania mengeluarkan kakitangan yang tidak penting dari kedutaannya di Kyiv dan Israel memindahkan keluarga diplomat dan kakitangan kedutaan.

Syarikat penerbangan Belanda KLM mengumumkan pada Sabtu bahawa mereka menangguhkan penerbangan ke Ukraine sehingga diberitahu kelak.

Tetapi kementerian infrastruktur Ukraine semalam berkata negara itu membiarkan ruang udaranya terbuka walaupun terdapat kemungkinan pencerobohan dari Rusia. – AFP, 14 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen