Menara Eiffel ditutup selepas salji turun di Paris 


Menara Eiffel di Paris ditutup kepada pengunjung berikutan cuaca buruk dan salji lebat yang melanda bahagian utara Perancis.– Gambar EPA, 7 Februari, 2018.

MENARA Eiffel telah ditutup pada petang Selasa berikutan cuaca buruk selepas salji lebat menyelimuti bahagian utara Perancis dan menjejaskan lalu lintas, lapor agensi berita China Xinhua.

“Berikutan keadaan cuaca (yang buruk), Menara Eiffel ditutup kepada semua pengunjung kami,” kata pihak berkuasa ikon dunia itu menerusi akaun Twitter.

Pengunjung berkumpul di bawah payung di jalan raya berhampiran monumen itu sambil mengagumi rupanya yang diseliputi salji.

Ahli meteorologi meramalkan salji akan bertambah lebat pada Rabu dan ketebalannya boleh mencecah 10 sentimeter. 

Suhu dijangka turun pada paras serendah negatif 10 darjah Celsius.

Dua puluh lapan jabatan pentadbiran, termasuk lapan di wilayah Paris, diletak di bawah amaran tahap jingga. 

Perkhidmatan bas di ibu negara telah dibatalkan pada petang Selasa manakala pengangkutan sekolah digantung di banyak tempat pada Rabu. – Bernama, 7 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen