PENUNJUK perasaan Kanada yang diketuai oleh pemandu lori yang marah terhadap sekatan Covid-19 menentang polis dan terus menduduki jambatan utama pada Sabtu, manakala ribuan lagi berhimpun di ibu negara selepas protes yang berlangsung selama dua minggu tidak menunjukkan tanda-tanda reda.
Demonstrasi itu turut mencetuskan protes yang kini tersebar di seluruh dunia, termasuk ke Perancis, Belanda, Switzerland dan Australia.
Di Ontario, yang mana pihak berkuasa mengisytiharkan darurat, mahkamah agung wilayah mengarahkan pemandu lori untuk menamatkan sekatan mereka terhadap Ambassador Bridge yang strategik, yang menghubungkan bandar Windsor di Kanada ke Detroit, Michigan di Amerika Syarikat.
Protes itu telah memaksa pembuat kereta utama di kedua-dua negara untuk menghentikan atau mengurangkan pengeluaran dan Washington pada hari Jumaat menggesa Ottawa menggunakan kuasa persekutuannya untuk menamatkan sekatan.
Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau menjanjikan “campur tangan polis yang semakin tegas,” sambil menambah bahawa sempadan tidak boleh ditutup dan “konflik ini mesti ditamatkan.”
Polis Kanada, disokong oleh kenderaan berperisai, mula membersihkan jambatan, menurunkan khemah yang didirikan di lorong lalu lintas dan memujuk beberapa pemandu untuk memindahkan trak mereka.
Tetapi menjelang petang Sabtu, selepas berjam-jam berdepan dengan penunjuk perasaan, polis masih belum membuka laluan sepenuhnya. Kebanyakan kereta dan trak yang menghalangnya telah dialihkan namun ratusan orang enggan berganjak.
Jurucakap polis Windsor, Jason Bellaire berkata, tujuannya adalah untuk membuka laluan jambatan itu secara aman, tetapi beliau tidak dapat mengatakan sama ada ia akan dibuka pada penghujung hari. Tiada laporan mengenai tangkapan pada hari Sabtu.
Ambassador Bridge adalah penting kepada industri auto AS dan Kanada, membawa lebih daripada 25 peratus barangan yang dieksport oleh kedua-dua negara.
Dua lagi laluan sempadan AS-Kanada, satu di wilayah Manitoba dan satu di Alberta, kekal disekat oleh protes. – AFP, 13 Februari, 2022.
Komen