DIPLOMAT tertinggi Jepun, Korea Selatan dan Amerika Syarikat mengisytiharkan penyatuan mereka membantah tindakan Korea Utara pada Sabtu selepas beberapa siri pelancaran peluru berpandu balistik oleh Pyongyang.
Selepas sehari bermesyuarat di Honolulu, Setiausaha Negara AS Antony Blinken, Menteri Luar Korea Selatan Chung Eui-yong, dan Menteri Luar Jepun Hayashi Yoshimasa mengutuk siri tujuh pelancaran itu sebagai “mengganggu kestabilan” dalam satu kenyataan bersama.
Pyongyang perlu “menghentikan aktiviti yang menyalahi undang-undang dan sebaliknya terlibat dalam dialog,” kata mereka.
“DPRK sedang dalam fasa provokasi,” kata Blinken pada sidang akhbar bersama rakan-rakan menteri luarnya, menggunakan akronim untuk Republik Demokratik Rakyat Korea.
“Kami terus berusaha mencari jalan untuk mempertanggungjawabkan DPRK,” katanya, memetik sekatan terbaharu yang dikenakan ke atas lapan orang dan entiti yang terikat dengan kerajaan Korea Utara.
Ketiga-tiga diplomat itu mengulangi komitmen mereka terhadap denuklearisasi seluruh Semenanjung Korea, dan kesediaan untuk menyambung semula rundingan dengan Pyongyang, yang tidak bertindak balas terhadap cadangan daripada pentadbiran Presiden AS Joe Biden pada tahun lalu.
“Setiausaha dan menteri luar menegaskan mereka tidak mempunyai niat bermusuhan terhadap DPRK dan menekankan keterbukaan berterusan untuk bertemu DPRK tanpa prasyarat,” kata mereka dalam kenyataan itu. – AFP, 13 Februari, 2022.
Komen