TENTERA Udara Jepun hari ini berkata mereka sudah menemui mayat salah seorang daripada dua anak kapal pesawat pejuang yang hilang dua minggu lalu.
Pesawat F-15 sedang menjalani latihan pada 31 Januari sebelum hilang dari radar sejurus berlepas dari Pangkalan Tentera Udara Komatsu di tengah wilayah Ishikawa, menyebabkan misi mencari dan menyelamat digerakkan.
Tentera udara berkata mayat itu ditemui pada Jumaat oleh tentera laut ketika operasi di Laut Jepun.
Identiti mayat sudah disahkan, tetapi butiran peribadi mangsa tidak didedahkan. Operasi mencari seorang lagi anak kapal masih diteruskan.
Punca dan bagaimana pesawat itu terhempas juga tidak didedahkan, tetapi Kementerian Pertahanan tidak merancang menyekat penggunaan F-15 disebabkan tragedi itu.
Kemalangan udara melibatkan pesawat tentera udara Jepun sering berlaku.
Pada 2019, sebuah pesawat selinap jenis F-35A terhempas di laut selepas juruterbang mengalami kecemasan, menyebabkan operasi besar-besaran dilakukan untuk mencari mayat dan peralatan ketenteraan sulit di dalam pesawat itu. – AFP, 13 Februari, 2022.
Komen