Mrs World Sri Lanka dilucut gelaran, dakwa penganjur korup


Pushpika de Silva menjadi tumpuan media tahun lepas selepas dijulang sebagai “Mrs Sri Lanka” di Colombo, selepas pemenang sebelumnya merampas tiara daripada kepalanya, mendakwa kemenangan de Silva tidak adil. – Gambar AFP, 13 Februari, 2022.

SEORANG wanita Sri Lanka yang menyertai pertandingan ratu cantik di AS digugurkan daripada gelarannya selepas mendakwa korupsi menghalangnya daripada memenangi pertandingan peringkat global itu, kata penganjur pada Rabu.

Pushpika de Silva menjadi tumpuan media tahun lepas selepas dijulang sebagai “Mrs Sri Lanka” di Colombo, selepas pemenang sebelumnya merampas tiara daripada kepalanya, mendakwa kemenangan de Silva tidak adil.

Dalam siri catatan di media sosial, de Silva berkata beliau gagal memenangi pertandingan Mrs World di Las Vegas bulan lepas kerana juri dipengaruhi pihak tertentu.

Pertandingan ratu cantik khas untuk wanita berkahwin itu dimenangi peserta Amerika Syarikat Shaylyn Ford.

Dakwaan de Silva mencemarkan “reputasi Sri Lanka di peringkat global”, kata penganjur dalam satu kenyataan.

Selain digugurkan gelaran Mrs Sri Lanka, de Silva juga dilarang daripada menggunakan gelaran itu dalam sebarang aktiviti promosi.

De Silva menang gelaran Mrs Sri Lanka pada April, tetapi ketika berada di atas pentas, tiaranya dirampas Caroline Jurie, pemenang tahun sebelum itu.

Jurie dan seorang lagi wanita kini berdepan dakwaan serangan dan merosakkan tempat majlis ratu cantik Colombo.

Mereka mendakwa de Silva tidak layak memenangi gelaran itu kerana beliau bercerai. De Silva berkata statusnya masih isteri orang dan berkahwin walaupun duduk berasingan daripada suaminya.

Dalam catatan media sosial, de Silva turut menuduh ahli pasukannya di Las Vegas mensabotaj peluangnya untuk menang gelaran peringkat global. – AFP, 13 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen