Malaysia selamat 2,320 mangsa dagang manusia sejak 2019, kata Bukit Aman


Kalidevi Mogan Kumarappa

Bukit Aman berkata kes pemerdagangan manusia berjaya dikurangkan berikutan langkah pencegahan dan penguatkuasaan yang berkesan di seluruh negara terutamanya di sempadan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Februari, 2022.

SERAMAI 2,320 mangsa pemerdagangan manusia berjaya diselamatkan polis dalam tempoh 2019 hingga tahun ini, menurut Bukit Aman.

Ketua Penolong Pengarah Anti-Pemerdagangan Orang dan Anti-Penyeludupan Migran (ATIPSOM) Fadil Marsus berkata kejayaan itu juga kesan kawalan pergerakan bagi mengekang pandemik Covid-19.

Katanya, kes berjaya dikurangkan disebabkan langkah pencegahan dan penguatkuasaan yang berkesan di seluruh negara, terutama kawalan di sempadan yang menyekat pendatang asing.

“Namun operasi menyelamat masih diteruskan secara berterusan atas maklumat yang diterima mahupun risikan kami sendiri.

“Hasilnya seramai 2,320 mangsa yang majoriti dari sektor perkhidmatan dan perkilangan diselamatkan untuk tempoh empat tahun ini,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Katanya polis turut menahan 851 majikan atau individu yang mendalangi kegiatan pemerdagangan manusia, dengan jumlah paling ramai 361 pada tahun 2019.

Seterusnya, 243 majikan dan individu tersebut ditahan pada tahun 2020, 228 pada tahun lalu dan 19 orang lagi hingga 31 Januari lalu, katanya.

Tambahnya, ramai mangsa tersebut terdiri daripada warga Indonesia diikuti Vietnam, Thailand, China dan lain-lain negara jiran dengan majoritinya berusia 18 tahun ke atas.

“Semua mangsa ini diselamatkan mengikut peruntukan Seksyen 44 Akta Antipemerdagangan Orang dan AntiPenyeludupan Migran 2007 (Akta 670).

“Kesemua suspek disiasat dan ditahan di bawah kesalahan-kesalahan bahagian III, akta yang sama,” katanya.

Fadil percaya menerusi operasi yang lebih kerap dan pemeriksaan ketat, jenayah itu dapat dikekang dengan lebih baik.

Usaha membanteras jenayah pemerdagangan manusia ini antara lain bagi memulihkan kedudukan Malaysia dalam Laporan Pemerdagangan Manusia (TIP) Jabatan Negara Amerika Syarikat.

Pada tahun lalu, jabatan itu menurunkan Malaysia ke tahap tiga, paling rendah dalam TIP.  

Malaysia kembali ke tahap itu buat pertama kalinya sejak 2014 bersama Afghanistan, Burma, China, Russia, Korea Utara, Sudan Selatan, Syria, dan Guinea-Bissau.

Negara dalam senarai tahap tiga boleh dikenakan sekatan oleh AS bagi pembiayaan bantuan asing tertakluk kepada keputusan presiden negara tersebut.

Tahap satu dalam laporan itu merujuk kepada pematuhan sepenuhnya dan tahap dua pula bagi usaha signifikan untuk mematuhi Akta Perlindungan Mangsa Pemerdagangan Manusia 2000 (TVPA).

Negara dalam tahap tiga ditakrif sebagai negara yang tiada usaha untuk mematuhi standard minimum TVPA.

Menurut laporan itu, Malaysia didapati tidak melaksanakan langkah bersesuaian untuk menangani pemerdagangan manusia, biarpun selepas mengambil kira impak Covid-19 ke atas jenayah tersebut.

Selain itu, Malaysia juga didapati tidak memisahkan isu pemerdagangan manusia serta jenayah penyeludupan migran sebagai kes berbeza.

Selain itu mereka berkata, Malaysia didapati tidak menangani secara tuntas dakwaan kes pemerdagangan buruh paksa terutama dalam industri pemprosesan getah dan kelapa sawit.

Malaysia menguasai hampir 33% pasaran global komoditi tersebut.

Ekoran itu, AS menyekat import dari beberapa syarikat Malaysia atas dakwaan menggunakan buruh paksa termasuk FGV Holdings Bhd, Sime Darby Plantation Bhd dan Supermax Corporation Bhd.

Beberapa bulan lalu, AS memberi kebenaran semula kepada Top Glove meneruskan penghantaran produknya ke AS selepas larangan berkuat kuasa selama setahun.

Seterusnya pada Khamis, kerajaan Malaysia pada Khamis menjalin kerjasama baharu bersama AS dan United Kingdom (UK) bagi membanteras jenayah pemerdagangan orang ini.

Usaha tersebut dijalankan menerusi kerangka Pelan Tindakan Nasional Mengenai Buruh Paksa (NAPFL) yang dilancarkan tahun lalu.

Sebagai tindakan susulan, kerajaan Malaysia mengumumkan akan meminda Akta Kerja 1955 akan dipinda pada Mac dengan memasukkan peruntukan berkaitan buruh paksa. – 15 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen