Krisis Ukraine: Australia pindah kakitangan kedutaan


Imej satelit menunjukkan khemah dan peralatan tentera dipercayai milik tentera Rusia berhampiran Crimea, Ukraine ketika ketegangan Rusia-Barat makin memuncak yang memaksa Australia memindahkan kakitangan kedutaannya. – Gambar EPA, 13 Februari, 2022.

AUSTRALIA telah mengarahkan semua kakitangan kedutaan yang tinggal di Kyiv untuk keluar, kata Perdana Menteri Scott Morrison pada Ahad, ketika Rusia terus membina tentera di sempadannya dengan Ukraine.

Pemindahan itu berikutan pengumuman serupa dari Amerika Syarikat (AS) dan Kanada, berlaku selepas diplomasi melalui telefon gagal meredakan ketegangan serantau yang semakin meningkat pada Sabtu.

Rusia hampir mengepung jiran baratnya dengan lebih 100,000 tentera.

Ketegangan semakin memuncak selepas Washington memberi amaran pencerobohan habis-habisan boleh bermula “bila-bila masa” dan Rusia melancarkan latihan tentera laut terbesarnya sejak beberapa tahun merentasi Laut Hitam.

Morrison berkata Australia akan mengalihkan operasinya ke Lviv, sebuah bandar berhampiran sempadan Ukraine dengan Poland yang terletak kira-kira 540 kilometer timur Kyiv.

Beliau berkata tiga kakitangan yang tinggal di Kyiv telah membantu “ramai warga Australia (di Ukraine), yang kebanyakannya memili dua kewarganegaraan”.

“Keadaan ketika ini, seperti yang anda semua dengar, semakin teruk, dan mencapai tahap yang sangat bahaya,” katanya.

Sambil mengecam “tindakan autokratik, unilateral Rusia”, perdana menteri juga kembali kepada politik serantau, mengkritik China kerana “berdiam diri terhadap tentera Rusia yang berkumpul di sempadan Ukraine”.

“Gabungan autokrasi yang kita lihat, berusaha untuk membuli negara lain, bukanlah sesuatu yang dipandang ringan oleh Australia,” kata Morrison.

Menteri Luar Australia Marise Payne mengulangi gesaan agar warga Australia meninggalkan Ukraine dengan segera, memberi amaran “keadaan keselamatan boleh berubah dalam masa yang singkat.” – AFP, 13 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen