Presiden Brazil jumpa Putin ketika krisis Ukraine memuncak


Presiden Brazil Jair Bolsonaro akan bertemu rakan sejawat Rusia Vladimir Putin pada Rabu dalam apa yang dilihat ramai sebagai waktu yang janggal di mana ketegangan antara Rusia dan Barat makin memuncak berhubung krisis Ukraine. – Gambar EPA, 13 Februari, 2022.

PRESIDEN Brazil Jair Bolsonaro dijangka tiba di Rusia pada Selasa dalam lawatan rasmi yang dilihat dalam waktu yang sangat janggal, ketika ketegangan antara Moscow dan Barat ke atas Ukraine makin memuncak.

Mengetepikan tekanan daripada Amerika Syarikat dan kabinetnya sendiri, Bolsonaro memilih untuk meneruskan pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Rusia Vladimir Putin, lawatan yang dikatakannya untuk membina hubungan perdagangan.

Bolsonaro menolak kebimbangan yang Putin boleh menggunakan lawatannya itu untuk menuntut sokongan ke atas Ukraine daripada negara terbesar Amerika Latin, anggota tidak tetap Majlis Keselamatan PBB.

Namun pertemuan mereka, yang dijadualkan pada Rabu, boleh menjadi medan ranjau diplomatik untuk Bolsonaro.

“Masanya idak sesuai,” kata Guilherme Casaroes, penganalisis politik di Yayasan Getulio Vargas di Brazil.

“Kami tidak tahu apa yang akan berlaku. Keadaan akan jadi lebih sengit di sempadan (Rusia-Ukraine),” katanya kepada AFP.

Rusia membuat jemputan pada akhir November, apabila ketegangan mengenai Ukraine mula memuncak.

Bolsonaro menerima, memutuskan untuk menggabungkannya dengan lawatan berjumpa rakan pemimpin Viktor Orban di Hungary, di mana akan berlangsung pada Khamis.

Sejak itu, perselisihan di Ukraine semakin teruk, dengan risiko perang di Eropah kelihatan terlalu hampir.

“AS beri banyak tekanan kepada Brazil untuk membatalkan” perjalanan itu, kata Felipe Loureiro, profesor hubungan antarabangsa di Universiti Sao Paulo.

Tetapi dengan membatalkan sekarang akan menghantar isyarat yang “Brazil adalah boneka AS,” dan Putin “akan benar-benar marah,” katanya.

Bolsonaro menegaskan sekali lagi dalam wawancara radio pada Sabtu yang beliau akan meneruskan lawatan walaupun terdapat kemungkinan perang meletus tidak lama lagi.

“Kami mohon Tuhan agar keamanan muncul di dunia, untuk kebaikan kita semua,” kata Bolsonaro. – AFP, 13 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen