Saya mangsa gaduh dalam DAP, kata penyandang Skudai


Angie Tan

Penyandang Adun Skudai Tan Hong Ping mendakwa pengguguran beliau daripada calon pilihan raya negeri Johor adalah kerana ada pergaduhan puak dalam DAP. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Februari, 2022.

PENYANDANG Adun Skudai Tan Hong Pin, yang digugurkan daripada calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor mendakwa beliau menjadi mangsa perbalahan puak dalam DAP Johor.

Tan pada mulanya berkata beliau sanggup dikorbankan demi parti namun menukar nadanya ketika diwawancara The Malaysian Insight baru-baru ini.

Tanpa memetik sebarang nama, Tan mendakwa semua masalah yang dihadapi DAP negeri berpunca daripada hanya seorang.

“Masalah dalam parti datang dari seorang sahaja. Jika dia itu dibenarkan buat rampasan politik, maka saya fikir parti itu perlu diperbaiki,” katanya.

Sebelum ini, dikhabarkan kira-kira lima Adun tidak bersetuju dengan Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong.

Lima Adun itu ialah Ee Chin Li (Tangkak), Cheow Chee How (Perling), Yeo Tung Siong (Pekan Nenas), Ng Yak Howe (Bentayan) dan Tan.

Mereka dianggap sehaluan dengan bekas pengerusi DAP negeri Dr Boo Cheng Hau yang juga pesaing Liew di Johor.

Bagaimanapun, parti itu telah mengumumkan Chin Li akan bertanding di Tangkak sekali lagi.

PRN Johor ditetapkan pada 12 Mac manakala hari penamaan calon pada 26 Februari.

Ketika pembubaran, DUN Johor dianggotai 56 anggota meliputi Barisan Nasional (16 kerusi), Perikatan Nasional (12), dan Pakatan Harapan (27).

Pada 2018, PH menyingkirkan BN selepas memenangi 36 daripada 56 kerusi, meninggalkan BN dengan 19 kerusi dan PAS satu.

Bagaimanapun, berikutan Langkah Sheraton pada 2020 dan keluarnya Bersatu daripada PH, BN bekerjasama dengan PN yang dipimpin Bersatu untuk memerintah negeri itu dengan perbezaan hanya satu kerusi.

Beberapa hari lepas Tan mengesahkan kepada media beliau tidak akan mempertahankan kerusi itu tetapi akan diletakkan sebagai calon Parlimen pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Beliau meluahkan rasa tidak puas hati dan menegaskan bahawa ini adalah pembersihan dalaman yang berpuak, yang menyebabkan beliau tidak dapat menerima aturan sedemikian.

“Saya sertai DAP pada 2004, dan saya percaya saya telah memenuhi jangkaan dan mandat DAP, biarlah di kawasan Mengkibol atau di Skudai. Saya sudah buat yang terbaik,” kata Tan kerusinya sebelum ini.

“Pada PRU 2013, saya sepatutnya bertanding di Pekan Nanas, tempat saya bekerja selama lapan hingga 10 tahun. Pada masa itu, parti juga mengadakan majlis untuk mengumumkan saya adalah calon tetapi kemudian setiausaha agung parti Lim Guan Eng tidak membuat sebarang pengumuman di sana selepas satu panggilan telefon.

“Selepas itu, parti meminta saya pergi ke Mengkibol, Kluang untuk bertanding, dan seluruh keluarga saya berpindah ke Kluang untuk menetap di sana kerana saya tidak mahu menjadi ‘Adun hujung minggu’,” katanya.

Tambah Tan, isterinya berhenti kerja supaya mereka sekeluarga dapat berpindah ke Kluang.

Pada PRU 2018, Tan berkata beliau telah diarahkan pada saat-saat akhir untuk bertanding di Skudai.

Tan berkata demi kepentingan parti, beliau akur.

Ketika itu, Tan pergi ke DUN Skudai bagi menggantikan mentornya, Dr Boo yang menimbulkan rasa tidak puas hati di peringkat akar umbi.

Pada 9 Februari, Liew turut mengesahkan Tan tidak akan bertanding pada PRN akan datang tetapi berkata pengguguran itu bagi membolehkan Tan bertanding di kerusi Parlimen.

Enggan lompat parti

Tan juga mengakui diajak untuk lompat parti namun beliau enggan walaupun kecewa dengan DAP.

Katanya beliau masih percaya DAP sebagai kuasa penting dalam gerakan reformasi Malaysia.

“Parti ini masih belum sampai ke peringkat untuk tinggalkan reformasi dan cita-citanya. Jika ia benar-benar tidak boleh berfungsi, ia perlu diubah. Mengapa saya perlu tukar haluan dan pergi ke arah lain?”

“Hari ini anda berhadapan masalah (puak) dalam DAP, dan anda juga akan menghadapi masalah yang sama dalam parti politik lain. Sentiasa akan ada perkara sebegini, dan anda akan kalah kerana puak dalam DAP hari ini,” katanya.

Tan berkata beliau akan menggunakan pemberhentian politik yang dikuatkuasakan oleh parti itu untuk merenung kerjayanya.

“Walaupun saya ditendang keluar, saya masih ada reputasi yang baik kerana saya akan menetap di Skudai untuk cari rezeki, tidak seperti orang lain yang akan beredar.

“Selepas nama calon dikeluarkan, saya boleh serahkan baton dan tanggungjawab saya selesai, malah saya percaya telah tunaikan amanah parti terhadap saya.

Walaupun DUN telah dibubarkan, Tan berkata pusat khidmatnya masih beroperasi.

Tan berkata, beliau akan memberi restu kepada calon baharu Skudai dan berharap parti akan terus mempertahankan kerusi tersebut.

“Saya harap DAP dapat terus mempertahankan kerusi ini. Saya bekerja keras untuk mendapatkan semula kerusi ini,” katanya.

Pada PRU lepas, Tan memperoleh 47,359 undi manakala lawannya, S Kanan daripada MIC hanya mendapat 12,233 undi. – 13 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen