Polis Paris lepaskan gas pemedih mata, sekat konvoi protes


Polis Perancis memukul penunjuk perasaan di Champs Elysees, Paris ketika demonstrasi "Konvoi Kebebasan" yang diadakan bagi menggesa kerajaan menarik semua sekatan dan mandat Covid-19, mengikut jejak langkah protes pemandu trak di Ottawa yang menentang langkah kerajaan mewajibkan vaksinasi untuk memasuki Kanada. – Gambar EPA, 13 Februari, 2022.

POLIS Paris melepaskan gas pemedih mata dan mengeluarkan ratusan denda pada Sabtu bagi menghalang konvoi kenderaan dalam protes terhadap sekatan koronavirus dan peningkatan kos sara hidup.

Diilhamkan oleh pemandu lori yang menutup ibu kota Kanada, Ottawa, beribu-ribu penunjuk perasaan dari seluruh Perancis menuju ke Paris dalam “konvoi kebebasan” menggunakan kereta, trak dan van sendiri.

Pihak polis yang mengharamkan protes itu bergerak pantas dengan menghalang kenderaan di pintu masuk utama Paris, mengenakan denda kepada peserta protes.

Bagaimanapun lebih 100 kenderaan berjaya berkumpul di Champs-Elysees, di mana polis menggunakan gas pemedih mata untuk menyuraikan penunjuk perasaan dalam adegan yang mengingatkan rusuhan antikerajaan “jaket kuning” pada 2018-2019.

Antara mereka yang ditahan di Paris, kata sumber polis, ialah Jerome Rodrigues, salah seorang tokoh terkemuka dalam protes “jaket kuning” dan penyokong konvoi itu.

Menteri Dalam Negeri Gerard Darmanin berkata pegawai telah menangkap 54 penunjuk perasaan di Paris dan mendenda 337 orang.

Penunjuk perasaan menentang pas vaksin Covid yang diperlukan untuk mengakses banyak tempat awam tetapi ada juga yang menyasarkan kenaikan harga tenaga dan makanan, isu yang mencetuskan protes “jaket kuning” yang menggegarkan Perancis pada penghujung 2018 dan awal 2019.

Aurelie M., seorang pembantu tadbir berusia 42 tahun dari Paris, berkata pas itu bermaksud dia tidak lagi boleh menaiki kereta api TGV jarak jauh walaupun dia diuji negatif Covid

“Terdapat banyak perkara tidak konsisten dan tidak adil,” katanya kepada AFP, menyatakan penumpang masih boleh bersesak-sesak di metro Paris tanpa bukti vaksinasi. – AFP, 13 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen