Kapal pemusnah Rusia halau kapal selam AS dekat kepulauan Pasifik


Menurut Moscow kapal pemusnah Marshal Shaposhnikov milik negara itu telah mengejar dan menghalau kapal selam Amerika Syarikat yang dilaporkan berada di Kepulauan Kuril, di Lautan Pasifik ketika ketegangan sedang memuncak antara Rusia dan Barat berikutan perkembangan di Ukraine. – Gambar AFP, 13 Februari, 2022.

KAPAL pemusnah antikapal selam Rusia mengejar kapal selam Amerika Syarikat (AS) berhampiran Kepulauan Kuril, memaksanya meninggalkan perairan wilayah negara itu, kata Moscow pada Sabtu, di tengah-tengah ketegangan memuncak berkaitan Ukraine.

Jurucakap Pentagon hanya berkata: “Kami tahu tentang laporan media mengenai dakwaan insiden tentera laut di Pasifik. Kami tidak dapat mengesahkan butiran laporan tersebut buat masa ini.”

Kementerian pertahanan Rusia berkata semasa latihan ketenteraan yang dirancang kapal pemusnah Marshal Shaposhnikov mengesan kapal selam kelas Virginia Tentera Laut AS di perairan wilayah Rusia berhampiran Kepulauan Kuril di utara Pasifik.

Apabila kapal selam itu tidak mengendahkan permintaan untuk naik ke permukaan, anak kapal itu “menggunakan cara yang sepatutnya” dan kapal selam AS itu pergi dengan kelajuan penuh, kata kementerian itu, tanpa memberikan butiran lanjut.

Kementerian itu juga berkata ia telah memanggil atase pertahanan AS di Moscow berhubung insiden itu.

“Sehubungan dengan pelanggaran kapal selam Tentera Laut AS di sempadan negara Persekutuan Rusia, atase pertahanan di kedutaan AS di Moscow telah dipanggil ke kementerian pertahanan Rusia”, kata kementerian pertahanan.

Kuril, yang terletak di utara pulau Hokkaido Jepun, telah dikawal oleh Moscow sejak dirampas oleh tentera Soviet pada penghujung Perang Dunia Kedua.

Insiden itu berlaku berhampiran pulau Kuril Urup yang dikawal oleh Rusia.

Ia terjadi di tengah-tengah ketegangan yang memuncak antara Rusia dan Barat yang menyaksikan Moscow mengepung Ukraine dengan lebih 100,000 tentera, dengan Washington memberi amaran bahawa pencerobohan habis-habisan boleh bermula “bila-bila masa”.

Pemimpin Rusia Vladimir Putin pada Sabtu mengecam dakwaan itu sebagai “provokasi”. – AFP, 13 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen