Seorang penumpang maut, 42 cedera bas meletup di China


SEORANG penumpang terbunuh dan berpuluh yang lain cedera apabila sebuah bas meletup di timur laut China, lapor pegawai keselamatan awam.

Rakaman yang tular di media sosial menunjukkan kenderaan itu berada di tepi jalan dengan tingkapnya pecah ketika serpihan bertaburan di sekeliling.

Saksi berkata mereka mendengar bunyi kuat ketika letupan berlaku tetapi bas itu tidak terbakar, lapor penyiar berita tempatan CCTV.

Seorang maut akibat letupan di bandar Shenyang di wilayah Liaoning itu, manakala dua lagi cedera parah, menurut kenyataan biro keselamatan awam tempatan.

Menurut pihak berkuasa Shenyang, 40 orang lagi mengalami “cedera ringan”.

Dalam satu lagi klip video yang tular di media sosial, orang ramai dilihat duduk di tepi jalan berhampiran bas selepas letupan itu.

Punca letupan sedang disiasat. – AFP, 12 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen