Norway hapus peraturan penjarakan sosial, pelitup muka


Perdana Menteri Jonas Gahr Store berkata, kini rakyat Norway bebas untuk menganjurkan aktiviti sosial seperti yang dilakukan sebelum ini. – Gambar EPA, 12 Februari, 2022.

NORWAY menarik balik sekatan terakhir Covid-19 dengan menghapuskan peraturan penjarakan sosial dan pemakaian pelitup muka di ruang sesak walaupun terdapat peningkatan jangkitan varian Omicron.

“Meter itu semakin hilang. Kami mengambil cadangan mengenai penjarakan sosial,” kata Perdana Menteri Jonas Gahr Store kepada pemberita pada sidang media.

“Kini kami boleh bersosial seperti yang kami lakukan sebelum ini, dalam kehidupan malam, di acara kebudayaan dan acara sosial lain. Malah dalam perjalanan pergi dan balik kerja menaiki bas, kereta api dan feri,” katanya.

Norway menarik balik kebanyakan sekatan Covid-19 lain awal bulan ini, termasuk kerja di rumah, had jumlah orang di sesuatu tempat dan penjualan alkohol yang terhad di bar serta restoran.

Sementara itu, keperluan untuk mengasingkan diri selama empat hari selepas saringan positif Covid-19 dicadangkan dan kanak-kanak yang mengalami gejala pernafasan tidak lagi perlu menjalani saringan.

Gahr Store menegaskan “wabak ini belum berakhir”, dan menasihati penduduk yang tidak divaksin dan mereka yang berada dalam kumpulan berisiko untuk terus mengamalkan penjarakan sosial dan memakai pelitup muka.

Institut Kesihatan Awam Norway (FHI) berkata negara itu masih belum melihat kemuncak lonjakan Omicron, tetapi ia dijangka tidak lama lagi.

Pengarah agensi itu Camilla Stoltenberg memberitahu pemberita jumlah kemasukan ke hospital akibat Covid-19 meningkat sebanyak 40% minggu lalu.

Sehingga Jumaat, 986,851 kes dan 1,440 kematian berkaitan virus tersebut direkodkan di Norway, di mana lebih 91% penduduk menerima sekurang-kurangnya dua dos vaksin.

FHI menganggarkan tiga hingga empat juta orang daripada populasi 5.4 juta mungkin dijangkiti menjelang musim panas ini. – AFP, 12 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen