5 maut dalam kebakaran kilang biskut beras di Jepun


LIMA maut dalam kebakaran di sebuah kilang biskut beras di Jepun, kata polis hari ini dengan anggota bomba terpaksa bertungkus-lumus sepanjang malam bagi memadamkan api.

Media tempatan melaporkan, kira-kira 30 pekerja berada di lokasi kebakaran di wilayah utara Niigata tengah malam tadi. Bagaimanapun, punca kebakaran belum dapat dikenal pasti.

“Kami mengesahkan kematian empat wanita antara 60-an dan 70-an dan kami juga menemui mayat yang tidak dikenal pasti,” kata jurucakap polis kepada AFP tanpa memberikan butiran lanjut.

Saluran berita tempatan NHK melaporkan pihak berkuasa sedang berusaha untuk mengenal pasti mayat itu sebagai salah seorang daripada dua pekerja lelaki yang hilang, dengan seorang lagi dimasukkan ke hospital kerana terhidu asap tetapi berjaya sedarkan diri.

Jurucakap polis berkata, api akhirnya dapat dipadamkan 11 jam selepas kebakaran.

Kilang itu dimiliki Sanko Seika – salah satu pengeluar biskut beras terbesar Jepun – dan mengendalikan barisan pengeluaran untuk membakar makanan ringan popular.

Kebakaran melibatkan kehilangan nyawa adalah luar biasa di Jepun, kerana negara itu mempunyai standard bangunan yang ketat, dan jenayah kekerasan jarang berlaku.

Pada Disember, 25 terbunuh dalam kebakaran di sebuah klinik kesihatan mental di Osaka.

Seorang bekas pesakit klinik yang disyaki memulakan kebakaran itu meninggal dunia pada bulan yang sama sebelum polis menyoal siasatnya. – AFP, 12 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen