Wabak selesema maut di Hong Kong paksa tadika, sekolah ditutup


Wabak itu sudah membunuh 111 orang sejak Januari lalu, dua mangsanya adalah kanak-kanak bawah 18 tahun. Cuti Tahun Baru Cina diawalkan untuk mengurangkan hubungan kanak-kanak dengan persekitaran sesak. – Gambar AFP, 7 Februari, 2018.

TADIKA dan sekolah rendah di Hong Kong akan ditutup lebih awal untuk cuti Tahun Baru Cina kerana wabak selesema maut, kata kerajaan hari ini.

Wabak selesema musim sejuk itu sudah membunuh 111 orang sejak Januari, termasuk dua mangsa bawah umur 18 tahun, menurut data dikeluarkan Pusat Perlindungan Kesihatan.

Pakar kesihatan memberi amaran yang wabak itu belum sampai ke kemuncaknya. Pihak berkuasa berusaha mengurangkan hubungan pelajar dalam persekitaran sibuk menjelang cuti Tahun Baru Cina yang dijangka bermula minggu depan.

“Jika kita tak menanganinya sekarang, kebimbangan kami adalah jika wabak ini terus buruk dan menyebabkan kematian atau kes kritikal melibatkan kanak-kanak,” kata ahli mikrobiologi Yuen Kwo-yung kepada media hari ini.

Media tempatan melaporkan hospital awam dan wad kecemasan di kota itu sesak dengan pesakit. Masalah kekurangan kakitangan perubatan juga berlaku.

Hong Kong seringkali menjadi tempat asal penyebaran virus wabak maut dunia.

Selesema burung pertama kali berlaku pada manusia dikesan di Hong Kong pada 1997, membunuh enam orang di kawasan itu seterusnya menjadi wabak seluruh dunia membunuh ribuan orang.

Wabak Sindrom Penafasan Akut Teruk (Sars) yang melanda kota itu pada 2003 membunuh 299 orang. – AFP, 7 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen