PRESIDEN Sri Lanka mengharamkan mogok dalam sektor kesihatan dan elektrik hari ini dalam mogok besar-besaran kesatuan sekerja yang memasuki hari keenam melumpuhkan sepenuhnya hospital di negara itu.
Presiden Gotabaya Rajapaksa menguatkuasa undang-undang 1979 yang melarang penghentian kerja dua sektor itu, mengisytiharkan semua pekerjaan sebagai “perkhidmatan awam yang penting”, kata pejabatnya.
Peraturan ketat itu membolehkan mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan merampas aset mereka yang enggan bekerja.
Tindakan itu dibuat selepas kesatuan sekerja mengabaikan perintah mahkamah pada Khamis yang mengarahkan mereka menangguhkan mogok sementara menunggu petisyen terhadap tindakan mereka.
Sri Lanka bergelut dengan krisis tukaran asing yang melumpuhkan ekonomi dan kesatuan sekerja pula mendesak prospek naik jawatan lebih baik, penstrukturan tangga gaji serta elaun lebih tinggi.
Kerajaan bagaimanapun enggan tunduk kepada tuntutan itu, berkata situasi ekonomi semasa tidak membenarkan pertambahan peruntukan gaji.
Ribuan pekerja kesihatan terlibat dalam mogok itu dan hanya sebilangan kecil pekerja kecemasan bertugas di hospital kerajaan, perkhidmatan kesihatan rutin lain juga tergendala.
Pekerja sektor elektrik masih belum melancarkan melakukan mogok tetapi mereka juga mengancam melakukannya jika kerajaan meneruskan rancangan untuk menjual tapak jana kuasa kepada syarikat AS. – AFP, 12 Februari, 2022.
Komen