Junta Myanmar ampunkan lebih 800 banduan


JUNTA Myanmar akan membebaskan lebih 800 banduan sempena pengampunan Hari Kesatuan. – Gambar AFP, 12 Februari, 2022.

JUNTA Myanmar hari ini berkata ia akan membebaskan lebih 800 banduan sempena pengampunan Hari Kesatuan.

Menurut kenyataan Ketua Junta Min Aung Hlaing “pengampunan bersempena sambutan Jubli Berlian Hari Kesatuan” yang jatuh setiap 12 Februari, 814 banduan akan dibebaskan.

Kebanyakan mereka yang diberi pengampunan adalah banduan di penjara kawasan komersial Yangon, kata jurucakap junta Zaw Min Tun kepada AFP. Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan sama ada ahli akademik Australia Sean Turnell antara yang akan dibebaskan.

Turnell, profesor ekonomi Australia, bekerja sebagai penasihat kepada pemimpin awam yang disingkirkan Aung San Suu Kyi apabila ditahan pada Februari tahun lepas, beberapa hari selepas rampasan kuasa.

Dia didakwa kerana melanggar undang-undang rahsia rasmi Myanmar dan berdepan penjara 14 tahun jika sabit bersalah.

Junta membebaskan kira-kira 23,000 banduan pada Hari Kesatuan tahun lepas, dengan kumpulan hak asasi ketika itu bimbang tindakan itu berniat untuk memberi lebih ruang penjara kepada penentang junta dan mencetuskan kekecohan dalam masyarakat.

Rampasan kuasa pada 1 Februari 2021 mencetuskan protes massa dan operasi berdarah ketenteraan, dengan lebih 1,500 dibunuh dan hampir 12,000 ditahan, menurut kumpulan pemantau hak asasi tempatan. – AFP, 12 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen