NAIB presiden Umno Khaled Nordin menyindir Muhyiddin Yassin yang dianggapnya dihantui “kluster mahkamah” kerana terus membangkitkan isu tersebut.
Hinggakan, Muhyiddin mendakwa pemimpin Umno yang berdepan kes mahkamah itu hanya dapat dihalang jika Barisan Nasional (BN) tewas Pilihan Raya Negeri Johor, katanya.
“Beliau terus terbelenggu dengan kluster mahkamah, istilah ciptaan beliau.
“Yang lagi pelik ialah, tiada seorang pun yang beliau gelar kluster mahkamah itu bertanding di Johor atau ada kena mengena dengan pentadbiran kerajaan Johor.
“Jangan heret rakyat Johor ke kancah ketidaksukaan beliau terhadap tokoh tertentu,” kata Khaled lagi dalam kenyataan di Facebook.
Tambahnya, perkara itu menghantui Muhyiddin sehingga sehingga menghalang bekas menteri besar Johor itu memberi tawaran baharu bagi kempen PRN Johor.
“Saya kasihan benar dengan presiden Bersatu ini. Benar-benar beliau ketandusan kecerdasan.
“Siang dan malam, tidur tak lena, mandi tak basah kerana di bayangi dengan kluster mahkamah.
“Rupa-rupanya penglibatan Bersatu dalam PRN Johor hanya untuk menentang kluster mahkamah. Tiada rencana konkrit, lakaran masa depan dan cita-cita yang segar,” katanya.
Antara pemimpin utama dimaksudkan sebagai kluster mahkamah termasuk presidennya Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri Najib Razak yang berdepan kes rasuah dan mencuci wang haram.
Kempen untuk menolak kluster mahkamah itu digerakkan Muhyiddin sewaktu melancarkan jentera Johor bagi kempen PRN Johor.
Dalam sidang media Selasa lalu, beliau berkata pengundi perlu menolak Umno dan memilih Perikatan Nasional yang menurutnya lebih baik, tanpa pemimpin berdepan rasuah.
Mengulas perkara itu, Khaled berkata Muhyiddin tidak sepatutnya memaksa pengundi mengikut beliau yang tidak suka kepada tokoh tertentu.
Tambahnya, Muhyiddin juga berdepan krisis besar kerana selain hilang sokongan sebagai perdana menteri kelapan, partinya tewas dalam PRN Melaka dan gagal bertapak di Sarawak.
Selain itu, Bersatu juga gagal bekerjasama dan kini hanya mampu bergantung kepada sokongan PAS, katanya.
“Ini kerana dari sehari ke sehari, semakin ramai pimpinan dan ahli BERSATU keluar meninggalkan parti,” katanya. – 12 Februari, 2022.
Komen