Presiden Laos puas hati perkhidmatan tren Laos-China


Perkhidmatan tren menghubungkan Laos dan China memudahkan perjalanan rakyat di antara kedua-dua negara, kata Presiden Laos Thongloun Sisoulith. – Gambar AFP, 11 Februari, 2022.

PERKHIDMATAN tren yang menghubungkan Laos dan China memudahkan perjalanan rakyat di antara kedua-dua negara, di samping melancarkan perkhidmatan penghantaran barang, kata Presiden Laos Thongloun Sisoulith.

Beliau berpuas hati melihat perkhidmatan pengangkutan itu dikendalikan secara teratur dan cekap sejak mula beroperasi dua bulan lalu.

“Kereta api laju ini selamat dan selesa, hasil dedikasi pemain industri rel dua negara,” katanya ketika berkongsi pengalaman menaiki tren Unit Gandaan Elektrik (EMU) Lane Xang, baru-baru ini.

“Saya berharap seluruh rakyat Laos dapat menikmati kemudahan itu dan mendapat manfaat daripada Inisiatif Jalur dan Laluan.”

Menurut statistik, perkhidmatan tren EMU sehingga 5 Februari lepas mencatatkan 116 kali perjalanan, dan membawa 108,770 penumpang, dengan purata 1,699 penumpang sehari.

Sementara itu, penggunaan rel juga merekodkan prestasi baik di mod pengangkutan barang hingga mencecah 133,191 tan.

Thongloun berkata Kolej Vokasional dan Teknikal Kereta Api Laos yang kini dalam pembinaan diyakini akan membantu memupuk lebih banyak bakat dalam bidang berkenaan.

Beliau juga menyarankan pihak pengelola rel supaya menawarkan latihan vokasional kepada pekerja Laos, di samping memastikan perkhidmatan tren dua negara itu beroperasi lancar. – Bernama, 11 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen