139 pengunjung, 6 pemilik premis hiburan dikompaun


SEBANYAK 139 pengunjung dan enam pemilik pusat hiburan masing-masing dikompaun RM1,000 kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam Ops Khas Pematuhan SOP di Kuala Lumpur, sejak 4 Februari lepas sehingga semalam.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Kuala Lumpur Azman Ayob berkata kompaun berjumlah RM145,000 itu dikeluarkan mengikut Peraturan 17 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit Fasa Empat PPN 2021 (Melakukan aktiviti terlarang dalam pub dan kelab malam).

“Kompaun berjumlah RM139,000 dikeluarkan terhadap 139 orang pengunjung pusat hiburan manakala RM6,000 kepada enam pemilik premis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azman turut memaklumkan, sejak Januari lepas, JPJKK Kuala Lumpur telah mengeluarkan sebanyak 280 kompaun ke atas pemilik premis pusat hiburan dan pengunjung bernilai RM280,000 kerana gagal mematuhi SOP Covid-19.

“Operasi seperti ini terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa dalam usaha membantu kerajaan mengawal penularan wabak Covid-19 demi kesejahteraan masyarakat bersama,” katanya.– Bernama, 11 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen