SEORANG pelakon lelaki ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini hingga Jumaat bagi membantu siasatan kes dadah.
Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Petaling Jaya, Hairul Azhar Mohd Ishak terhadap pelakon itu selepas membenarkan permohonan polis untuk menahannya mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya serta perintah pengawasan sehingga tiga tahun, jika sabit kesalahan.
Pelakon berasal dari Terengganu itu yang memakai baju lokap berwarna jingga tiba di mahkamah pada 9.30 pagi dan dibawa polis ke bilik reman pukul 11.25 pagi.
Dia ditahan di Balai Polis Mutiara Damansara malam tadi ketika hadir untuk memberi keterangan berhubung laporan polis yang dibuat pelakon Farid Kamil Zahari, 37, pada 31 Januari lepas.
Dalam laporan itu, Farid mendakwa tiga rakan artis dipercayai telah meletakkan dadah ke dalam minumannya, menyebabkan dia bertindak di luar kawalan dan ditahan polis, dalam kejadian yang berlaku di Balai Polis Kota Damansara bulan lepas. – Bernama, 7 Februari, 2018.
Komen